BINTULU: Penurunan kes harian COVID-19 di Bintulu bukan bermakna masyarakat di sini boleh mengabaikan garis panduan (SOP) bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan, kata Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (gambar).

Jika diabaikan, beliau memberi amaran kes dijangka bertambah semula. Pada Ahad, Bintulu mencatatkan sembilan kes, manakala pada Sabtu lima kes dan Jumaat 11 kes.

"Setiap individu harus terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19 dengan melakukan penjarakan fizikal termasuk memakai pelitup hidung dan mulut di tempat awam," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tiong dalam pada itu melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa premis makanan di bahagian ini yang mengabaikan SOP di premis masing-masing.

Pemilik atau pekerja premis sekurang-kurangnya sudah menerima satu dos vaksin COVID-19 bagi membolehkan mereka mendapat imuniti terhadap virus pembunuh itu.

"Bagi tujuan sama, setiap pemilik premis makanan harus mempraktikkan SOP yang ketat seperti memastikan setiap pelanggan yang datang makan di premis mereka mengambil bacaan suhu dan melakukan imbasan aplikasi MySejahtera manakala bagi yang tidak mempunyai aplikasi terbabit wajip mencatatkan nama dan nombor telefon dalam buku rekod disediakan," tegasnya.

Beliau turut menasihati penduduk rumah panjang yang tinggal atau bekerja di bandar agar tidak balik ke rumah panjang jika tiada keperluan atau hal mustahak.

Katanya, meskipun pada masa sekarang Sarawak telah memasuki Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan hampir keseluruhan sektor ekonomi mulai dibuka, ia bukan bermakna perang terhadap COVID-19 sudah tamat.

"Setiap orang awam harus memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling mereka terutama kanak-kanak bawah 12 tahun serta golongan yang belum mendapat suntikan vaksin kerana golongan berkenaan berisiko tinggi mendapat jangkitan virus," katanya.