MUSNAH: Beberapa buah rumah musnah dalam kebakaran tersebut.

TAWAU: Kira-kira 50 buah rumah musnah dalam kebakaran di Blok 9, 10 dan 11 Kampung Titingan, di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tawau Sukur Hatta berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.33 pagi berhubung kejadian tersebut.

“Susulan laporan itu, sepasukan 52 anggota dan pegawai bersama lima buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati api sedang marak dan telah memusnahkan beberapa rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.

Menurutnya, pasukan bomba menghadapi rintangan dalam menjalankan tugas memadam termasuk tekanan air yang rendah, sumber air jauh dan rumah yang terlalu rapat.

“Kami terpaksa mendapatkan sumber air daripada longkang dan menggunakan pili bomba (800 meter) untuk kerja pemadaman api.

“Operasi pemadaman kebakaran turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Rela dan penduduk kampung,” katanya.

Sukur berkata, pasukan bomba berjaya mengawal api dari merebak pada jam 10.55 pagi sekali gus berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah berdekatan.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang aduan kecederaan atau kemalangan jiwa, manakala punca kejadian akan disiasat oleh Unit Forensik Kebakaran kemudian nanti” katanya.