Mazlan ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada anak yatim pada Program Lawatan Kebajikan Ke Rumah Anak Yatim Warga PDRM di Perumahan Pasukan Simpanan Persekutuan hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 98 peratus daripada  9,784 bantuan bakul makanan bagi fasa kedua Operasi Bantu (Op Bantu) Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diagihkan di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata baki dua peratus lagi pengagihan bakul makanan itu dijangka selesai diagih dalam minggu ini melibatkan negeri Sabah serta Sarawak.

“Pengagihan dua peratus lagi bakul makanan untuk operasi itu masih berjalan termasuk di kawasan pedalaman yang menyebabkan kesukaran untuk barangan itu diagihkan,” katanya selepas menyerahkan bantuan kepada anak-anak yatim dalam kalangan keluarga Pasukan Simpanan Persekutuan di Cheras, di sini, hari ini.

Fasa pertama operasi itu telah pun selesai dilakukan baru-baru ini melibatkan pengagihan sebanyak 3,120 bakul makanan.

Pada masa sama, katanya PDRM turut menyalurkan bantuan kewangan kepada seramai 82 anak-anak yatim daripada 43 keluarga warga PDRM dalam usaha meringankan beban mereka dalam menghadapi tempoh sukar berdepan pandemik COVID-19 ini. 

“Hasil infak jemaah dan kariah Masjid Bukit Aman sebanyak kira-kira RM30,362 berjaya dikumpul dan bantuan RM300 itu mula diagihkan bulan lepas kepada mereka yang memerlukan,” katanya. - Bernama