KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang wanita berusia 45 tahun.

Tertuduh, Nur Azmiezie Hamdan yang berusia dalam lewat 20an itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Jason Juga sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa dalam satu kejadian pada 20 Jun lalu, jam 6 petang di sebuah premis di Jalan Nyatoh, di sini.

Antara barangan yang diambil daripada mangsa adalah kad pengenalan, lesen memandu, beberapa kad bank, sebuah telefon pintar dan wang tunai berjumlah RM2,900. 

Untuk perbuatan itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. 

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar selepas mengaku bersalah tinggal melebihi tempoh masa di Malaysia.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh, Sarintan, yang berusia dalam lingkungan awal 30an itu dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia selesai membayar denda atau menjalani hukuman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 19 Jun lalu, jam 2 petang di sebuah pusat komersial di Jalan Setia Raja, di sini. 

Hasil siasatan mendapati tertuduh berada di negara ini melebihi tempoh Pas Lawatan Sosial dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Seksyen berkenaan membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan.