DATUK ISNIN ALIASNIH

KOTA KINABALU : Setelah kerajaan negeri memutuskan untuk memotong sebanyak 50 peratus gaji semua menteri dan pembantu menteri selama dua bulan berkuat kuasa bulan ini menerusi mesyuarat kabinet pada Rabu, Pembantu Menteri 1 Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih tampil memberikan respon, dengan menyambut baik usaha berkenaan.


Isnin yang bersetuju dengan perkara itu memberitahu, beliau sebagai pemimpin itu antara sebahagian tindakan yang terbaik untuk dilaksanakan kerana berpendapat kesukaran yang dilalui rakyat harus dipikul bersama.


Katanya disaat rakyat berdepan dengan kesukaran, ketika itu juga pemimpin turut bersama mereka (rakyat) dan sudah pasti semasa rakyat senang, pemimpin juga berasa senang.


"Saya amat bersetuju dengan pemotongan ini kerana sebagai pemimpin, kita sentiasa bersama rakyat di kala susah dan senang.


"Mudahan dengan pendekatan ini, kita (pemimpin) dapat membantu dalam membiayai apa-apa perbelanjaan berkaitan COVID-19 bagi memastikan segala usaha yang telah dilaksanakan selama ini membuahkan hasil dengan lebih pantas, " katanya kepada pemberita.


Beliau berkata demikian kepada Utusan Borneo apabila diminta mengulas mengenai pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berhubung pemotongan gaji menteri dan pembantu menteri selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri Sabah.


Menurut Hajiji, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut melepaskan 30 peratus daripada gaji mereka selama sebulan.


Jelas Hajiji yang juga Menteri Kewangan, semua pemotongan berkenaan akan dijadikan simpanan untuk digunakan sebagai dana membiayai pengurusan pandemik COVID-19.


Dalam pada itu, Isnin yang juga ADUN Klias berharap para petugas barisan hadapan terus tabah menghadapi situasi pandemik COVID-19 sambil merayu kepada rakyat supaya kekal berada dirumah sekiranya tidak mempunyai sebarang urusan penting bagi mengelak daripada diri sendiri mahupun keluarga dijangkiti wabak berbahaya itu.


"Marilah kita bersatu hati memutuskan rantaian pandemik COVID-19 ini. Saya tahu semua pihak khususnya petugas barisan hadapan bekerja keras tanpa henti sepanjang pandemik ini. Oleh itu saya ulangi penghargaan kerajaan atas jasa dan pengorbanan mereka di barisan hadapan ini.


"Saya doakan agar semua petugas barisan hadapan di seluruh negara diberikan kekuatan bagi menempuhi cabaran pandemik. Tidak lupa juga saya doakan kepada semua pesakit yang sedang dirawat agar diberikan kesembuhan segera, " katanya.