MESSI

LOS ANGELES: Lionel Messi mungkin berpindah ke Inter Miami sebagai sebahagian dari perjanjian baharu 10 tahun yang sedang dibincangkan dengan Barcelona, menurut pemilik kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) itu pada Rabu.

Akhbar The Miami Herald melaporkan bahawa pemilik Inter Miami, Jorge Mas dan pemilik bersama, David Beckham, mengadakan ‘rundingan serius’ dengan Messi tentang menyertai kelab yang berpusat di Florida itu untuk tempoh jangka pendek yang berada dalam kontrak baharunya di Barcelona.

Laporan di Sepanyol berkata bahawa di bawah cadangan kontrak baharu oleh Barcelona, Messi akan bermain dua lagi musim bersama Barcelona dalam La Liga Sepanyol sehingga 2022/2023 sebelum menamatkan kerjaya bermain dalam dua musim di Miami.

Beliau akan kembali ke Barcelona untuk enam tahun sebagai ‘duta global’.

Mas memberitahu Herald pada Rabu bahawa beliau yakin Messi akan akhirnya bermain di Miami.

“David dan saya sudah berusaha gigih, kami mempunyai aspirasi untuk membawa pemain terbaik dunia ke sini dan Leo Messi adalah seorang pemain yang dianggap yang terbaik sepanjang zaman,” kata Mas.

“Saya yakin Messi akan menyarung jersi Inter Miami kerana saya fikir beliau akan melengkapkan warisan pemain hebat dalam generasi kita dan akan memenuhi cita-cita pemilik Inter Miami  untuk membina pasukan berkelas dunia.”

Spekulasi mengenai masa depan Messi semakin memuncak dengan kontrak pemain antarabangsa Argentina berusia 33 tahun itu bersama Barcelona akan tamat pada akhir bulan ini.

Messi pernah memberitahu televisyen Sepanyol pada bulan Disember tahun lepas bahawa beliau berharap untuk bermain dalam MLS.

“Saya sentiasa mempunyai impian untuk dapat menikmati dan mendapat pengalaman tinggal di Amerika Syarikat, pengalaman dalam liga di sana,” kata Messi.

Beckham ada berkata pada bulan Februari lalu bahawa kelab berusaha memujuk pemain seperti Messi dan Cristiano Ronaldo untuk datang ke kelabnya. — AFP