MENANG: Gambar menunjukkan Khurelsukh Ukhnaa menyampaikan ucapan selepas memenangi pilihan raya presiden di Ulaanbaatar, Mongolia kelmarin. — Gambar AFP

ULAANBAATAR: Presiden baharu Mongolia Khurelsukh Ukhnaa adalah karakter macho yang pernah diambil gambar tidak berbaju ketika menunggang kuda seperti gaya Putin, dan dikenali sebagai “Fist” (penumbuk) selepas menumbuk seorang ahli parlimen.

Bekas perdana menteri itu memenangi hampir 70 peratus undian dalam pilihan raya presiden, menurut keputusan awal semalam, dengan jumlah pengundi yang rendah ketika pilihan raya ketiga dalam dua tahun.

Negara itu membuang undi kelmarin untuk mengganti-kan ahli perniagaan populis Battulga Khaltmaa.

Awal semalam, Khurelsukh mengumumkan kemenangan selepas meraih hampir 70 peratus undian.

“Dari lubuk hati, saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Mongolia,” ucapnya.  

Enkhbat Dangaasuren, pe-saing utamanya, mendapat hanya satu perlima daripada jumlah undian dan mengaku kalah.

Khurelsukh telah menam-pilkan persona macho, lengkap dengan gambar beliau tidak berbaju dengan senapang memburu, sama seperti imej terkenal pemimpin Rusia Vladimir Putin.

Beliau juga menempa nama panggilan “penumbuk” selepas video beliau menumbuk seorang ahli parlimen menjadi tular pada 2012.

Khurelsukh sejak itu telah cuba untuk membersihkan imejnya, dan ini adalah kemenangan presiden pertamanya sejak 12 tahun bersama Parti Rakyat Mongolia namun kali ini hanya 59 peratus pengundi tampil daripada dua juta rakyat yang layak mengundi.

Beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Januari ekoran protes serta kemarahan orang ramai ke atas layanan terhadap seorang pesakit COVID-19 dan  seorang bayi baharu lahir.

Mongolia terletak di antara China dan Rusia, telah bergelut dengan ketidakstabilan politik sejak ia beralih ke arah demokrasi. Perlembagaan pertama negara itu diluluskan pada 1992 selepas berdekad-dekad di bawah pemerintahan komunis.

Enkhbat, usahawan Internet yang mendapat soko-ngan ramai belia negara itu, kehilangan momentum apabila beliau didapati positif COVID-19 semasa kempen pilihan raya dan perlu menjalani kuarantin. — AFP