Abang Johari tiba di Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang di Dataran Kapit, hari ini.

SIBU: Bahagian Kapit akan menerima 16, 680 dos vaksin COVID-19 setiap minggu dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bilangan dos tersebut kemudian disalurkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di mana daerah Kapit akan menerima 8,160 dos vaksin, Song (3,680) sementara Asap dan Belaga (4,840).

"Ketika ini dianggarkan 10 peratus atau 8,662 orang yang mendaftar melalui aplikasi Mysejahtera telah menerima suntikan vaksin.

"Selain membuka PPV, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Kapit (JPBBK) turut menubuhkan Unit Bergerak PPV sama ada melalui darat, sungai dan udara bergantung kepada lokasi dan juga keadaan cuaca.

"Usaha JPBBK dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini turut dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia," katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Kapit untuk sesi Taklimat Khas Pelan Tindakan Program Imunisasi COVID-19 Bahagian Kapit dan Kesiapsiagaan JPBBK menangani pandemik itu.

Dalam lawatan yang sama beliau turut merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Sarawakku Sayang (BKSS) di  Dataran Kapit selain mengagihkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di Sekatan Jalan Raya Kapit-Song.

Turut hadir, ialah ketiga-tiga timbalan ketua menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menurut Abang Johari, sebanyak 16 pasukan Unit Bergerak pemberian vaksin ditubuhkan di Kapit, Bukit Mabong (20), Song (2), manakala dua lagi di Belaga.

Ujar beliau, jika pelan tindakan tersebut berjalan lancar, dianggarkan 16,000 hingga 17,000 penduduk di bahagian Kapit akan menerima suntik vaksin setiap minggu dan proses  itu dijangka dapat diselesaikan menjelang pada bulan Ogos depan.

Selain itu katanya, sejumlah 32 sekolah di bahagian terbabit, dibuka untuk dijadikan sebagai PPV.

Dalam sidang media yang sama, Abang Johari turut meluluskan peruntukkan sebanyak RM400,000 untuk menaik taraf rumah mayat Hospital Kapit.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa sejumlah RM4.5 juta telah diperuntukkan bagi menaik taraf Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital kapit dan projek tersebut sedang berjalan.