Uggah (tengah) serta Dr Rosmawati (kanan) dan Dr Sim menyaksikan ketibaa 380,000 dos vaksin Sinovac di LTAK hari ini.

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Sarawak akan melaksanakan program imunisasi COVID-19 lebih komprehensif lagi berikutan ketibaan bekalan 380,000 dos vaksin Sinovac hari  ini.

Bekalan vaksin itu diterbangkan khas menggunakan pesawat MASkargo tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kira-kira pukul 12.20 tengah hari.

Ketibaan vaksin berkenaan disaksikan Uggah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan penasihatnya, Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta pemangku Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Rosmawati Ariffin.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Uggah berkata Sarawak telah melaksanakan perancangan terperinci dan meluas sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan peningkatan bekalan vaksin COVID-19 digunakan sepenuhnya.

"Kita telah mewujudkan lebih banyak pusat vaksinasi, fasiliti-fasiliti kerajaan dan klinik-klinik swasta juga hospital-hospital swasta selain menubuhkan pasukan bergerak untuk ke kawasan pedalaman.

“Bagi fasiliti kerajaan, kita telah mengenal pasti 130 klinik kerajaan dan hospital dengan jumlah kapasiti vaksinasi harian dijangka 24,300 vaksin.

"Selain itu kita akan menubuhkan pusat vaksinasi di 102 stadium, dewan masyarakat, pejabat dan rumah panjang. Kita mensasarkan 42,500 vaksin sehari," jelasnya.

Sementara itu, bagi penglibatan sektor swasta dalam program imuniasi ini, Uggah berkata kerajaan telah melantik 42 klinik swasta dan 40 sudah mula memberi vaksin kepada penerima yang layak, banyak lagi dalam proses pendaftaran.

Beliau berkata klinik-klinik berkenaan dijangka memberi suntikan 3,366 individu d setiap minggu serta beroperasi tiga hari seminggu dan tempoh operasi akan ditingkatkan sehingga lima hari seminggu.

"Bagi hospital swasta pula, kita melibatkan enam lagi sebagai tambahan kepada lima (hospital swasta) yang sudah mula memberi suntikan vaksin. Jumlah gabungan kapasiti vaksinasi mereka ialah antara 5,000 hingga 7,000 sehari," katanya.

Tambahnya lagi, dua pusat pemberian vaksin untuk AstraZeneca diwujudkan iaitu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan Institut Kemahiran Belia Negara Miri.

"Sasaran jumlah individu divaksin oleh kedua-dua pusat itu ialah 4,400 orang sehari," katanya sambil menambah, pasukan bergerak outreach khas juga ditubuhkan di kawasan pedalaman bagi tujuan itu.

Beliau memberitahu pihaknya mewujudkan 11 pasukan bergerak di Song, Kapit, Bukit Mabong dan Belaga.

Menurutnya setiap pasukan ke pusat-pusat pemberian vaksin yang ditetapkan bagi memberi vaksin kepada penduduk rumah panjang serta kampung dan setiap pasukan dijangka menyuntik 250 individu sehari.

Dalam perkembangan sama, Uggah sekali lagi menasihati orang ramai yang masih belum mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19 segera berbuat demikian.

Pendaftaran katanya boleh dilakukan sama ada menerusi aplikasi MySejahtera di telefon mudah alih masing-masing atau mendaftar di pejabat daerah dan pusat kesihatan terdekat.

"Dengan cara ini, mereka dapat membantu pasukan perubatan membuat persiapan sewajarnya seperti temu janji, tarikh vaksinasi, lokasi dan sebagainya," tambahnya.

Beliau memberitahu sehingga 27 Mei 2021 1,255,948 individu (61.5 peratus) daripada 2,072,000 penduduk negeri ini berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19.

Sementara itu, menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba, setakat 8 Jun 2021, Sarawak negeri kedua tertinggi merekod jumlah rakyatnya telah menerima dos kedua vaksin iaitu 124,820 dan ketiga tertinggi bagi penerima dos pertama iaitu 256,044.