KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan jemputan menerima menghadap kepada presiden-presiden komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Isnin akan datang (14 Jun).

Pejabat Ketua Menteri menerusi kenyataan hari ini memaklumkan mereka telah dihubungi Istana Negara yang menjemput Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyertai perjumpaan Yang di-Pertuan Agong bersama pemimpin para parti politik.

“Pejabat Ketua Menteri Sarawak telah dihubungi Istana Negara hari ini untuk memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan menjemput dan menerima menghadap presiden-presiden komponen parti GPS melalui persidangan video dari pejabat ini pada 14 Jun ini, jam 11 pagi,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Istana Negara hari ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Kenderaan rasmi Muhyiddin dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 7.50 pagi.

Secara kebiasaannya, Muhyiddin selaku Perdana Menteri akan menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Kabinet berlangsung pada Rabu, bagi menyembah maklum perkembangan pentadbiran negara.

Difahamkan, Yang di-Pertuan Agong dijadual menerima menghadap ketua-ketua parti politik negara, termasuk Muhyiddin selaku Presiden Bersatu, secara berasingan bermula hari ini.

Pada Isnin, sebuah portal melaporkan Yang di-Pertuan Agong dijangka akan bertemu dengan pemimpin-pemimpin parti politik utama di negara ini pada 9 hingga 11 Jun 2021.

Menurut beberapa sumber, Yang di-Pertuan Agong dijangka bertemu Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin  Yassin dalam sesi pertama, diikuti parti-parti lain yang mempunyai perwakilan dalam Dewan Rakyat.

Bagaimanapun sumber tersebut menyatakan ia hanyalah pertemuan bagi mendapat pandangan dan tiada sebarang perencanaan perubahan kerajaan darurat dalam masa terdekat.

Seri Paduka turut dikatakan akan menggunakan pertemuan tersebut untuk mendengar isu semasa  dan mengenai proklamasi darurat.