KUCHING: Polis menangkap empat individu termasuk ibu kepada kanak-kanak lelaki dua tahun yang dilaporkan meninggal dunia, disyaki akibat didera, bagi siasatan kes tersebut. 

Ketua Polis Daerah Betong DSP Zamry Alli berkata, empat individu terbabit merupakan ahli keluarga kanak-kanak tersebut yang berumur antara 22 hingga 65 tahun. 

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan akan dihukum mati," tegasnya dalam kenyataan hari ini. 

Jelasnya lagi, permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat untuk siasatan selanjutnya. 

Mengulas lanjut kes itu, Zamry berkata, sekitar jam 3.45 petang Ahad, pihaknya dimaklumkan oleh seorang pegawai perubatan dari Hospital Betong berkaitan kes seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun telah meninggal dunia disyaki akibat didera. 

"Bertindak atas maklumat tersebut, polis telah pergi ke Hospital Betong dan mengesahkan terdapat seorang kanak-kanak telah meninggal dunia semasa dihantar oleh keluarganya pada jam 3 petang ke hospital tersebut. 

"Hasil pemeriksaan pegawai perubatan mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan dan lebam di beberapa bahagian badan kanak-kanak tersebut yang berkemungkinan telah menyebabkan punca kematian," dedahnya. 

Berikutan itu, tegas beliau, keempat-empat suspek termasuk ibu kanak-kanak berkenaan ditangkap untuk siasatan. 

Dalam pada itu, beliau memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak tepat berkaitan dengan kes ini. 

"Serahkan kepada polis untuk melakukan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab di atas kematian kanak-kanak tersebut," ujarnya. 

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kejadian itu berkata, ibu dan teman lelakinya ditahan untuk siasatan lanjut kes tersebut. 

"Kes ini masih dalam siasatan. Saya tidak boleh bagi maklumat lanjut selain mengesahkan ada laporan dibuat oleh pihak Hospital Betong tentang kes kematian kanak-kanak berusia 2 tahun yang mempunyai kesan lebam pada tubuh si mati. 

"Ibu dan teman lelaki ibu kanak-kanak terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut," katanya menerusi WhatsApp semalam. 

Kes itu tular di media sosial yang memaparkan gambar kedua-dua suspek bersama kanak-kanak berkenaan.

Selain itu, hantaran yang dimuat naik salah seorang ahli keluarga dipercayai bapa saudara kanak-kanak tersebut meminta agar orang ramai yang mengenali suspek untuk segera menghubunginya.