PERLUAS R&D: Mohamad Abid melawat kilang tanaman ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat MARDI di Serdang baru-baru ini. — Gambar Bernama

SERDANG: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memperluas skop penyelidikan dan pembangunan (R&D) kilang tanaman milik institut itu ke bidang kecekapan tenaga dan tenaga alternatif, mekanisasi serta Internet Pelbagai Benda (IoT).

Pegawai Penyelidik Kanan MARDI Mohamad Abid Ahmad berkata, sebelum ini pihaknya menjalankan R&D sistem pengeluaran, pengurusan agronomi tanaman, pencahayaan tanaman, pengurusan faktor biologi, pengurusan sisa sifar, kajian pasaran serta rantaian nilai produk.

“Setelah kilang tanaman memasuki tahun keempat beroperasi, kami (MARDI) dapati pelbagai R&D boleh dijalankan hasil daripada pemantauan terhadap sayuran yang ditanam di dalam kilang ini.

“Memandangkan teknologi kilang tanaman ini agak asing dan masih baru di negara ini, banyak elemen teknikal perlu diterokai,” katanya kepada Bernama.

Mengimbas sejarah tercetusnya idea pembangunan kilang tersebut, Mohamad Abid berkata, usaha itu bermula pada 2012 apabila sebuah syarikat tempatan yang bekerjasama dengan syarikat dari Jepun menyatakan hasrat ingin memperkenalkan sistem kilang tanaman di negara ini.

Syarikat tempatan itu mengadakan perbincangan dengan MARDI bagi mendapatkan kerjasama untuk membangunkan projek perintis sebelum diperkenalkan kepada petani atau individu yang minat berkebun, katanya.

Bermula daripada perbincangan itu, Mohammad Abid berkata MARDI terus mengorak langkah memulakan R&D membangunkan kilang tanaman yang merupakan sistem pengeluaran tanaman dalam persekitaran terkawal, merangkumi faktor pertumbuhan, pencahayaan, pengairan, pembajaan, suhu, kelembapan serta pengudaraan.

Kini kilang tanaman berkeluasan 30x80 meter (m) persegi dengan ketinggian 20 m itu dilengkapi 18 rak tanaman dan tujuh tingkat sistem hidroponik yang mampu menampung 16,000 sayur-sayuran pada satu-satu masa.

Mengenai jenis sayur-sayuran yang sesuai ditanam menggunakan teknologi kilang itu, beliau berkata penyelidikan pihaknya mendapati sayuran berdaun dan herba sesuai ditanam serta mampu bertahan di bawah sinaran lampu sebagai sistem pencahayaan menggantikan cahaya matahari.

Katanya, kesemua sayur-sayuran diletakkan di bawah lampu tiub diod pemancar cahaya atau LED pelbagai warna yang mampu mencegah serangan serangga perosak dan penyakit.

“Antara tanaman yang sesuai ialah salad, kailan kerinting, sawi dan oregano,” katanya yang telah 15 tahun berkhidmat di MARDI.

Beliau turut berkongsi kelebihan sayur-sayuran yang ditanam di kilang tanaman, iaitu bebas racun serangga, kebersihan terjamin dan tidak perlu dibasuh sebelum dimasak atau dimakan mentah.

Selain itu, pertumbuhan sayur-sayuran juga cepat dan boleh dituai dalam tempoh 25 hingga 40 hari.

“Bilangan pusingan tanaman juga dapat dipertingkat dari lapan pusingan kepada 15 pusingan setahun. Dengan ini, teknologi kilang tanaman mampu memastikan bekalan makanan mapan dan tidak bergantung pada keadaan cuaca,” katanya.

Selain faktor kualiti dan produktiviti sayur-sayuran, beliau berkata berkebun di dalam kilang juga menawarkan persekitaran yang kondusif, bersih dan selesa bersesuaian dengan gaya petani moden.

Ditanya mengenai kejayaan teknologi itu, Mohammad Abid yang juga tenaga pengajar bagi kursus latihan pertanian yang dijalankan MARDI, berkata, hingga kini pihaknya telah melatih 20 peserta daripada 10 syarikat tempatan yang telah memulakan teknologi kilang tanaman secara kecil-kecilan.

“MARDI telah menjalankan lebih 12 siri kursus dan latihan kepada peserta sejak 2019 hingga 2020. Untuk tahun ini kita tangguhkan disebabkan pandemik COVID-19,” kata pemilik Ijazah Sarjana Muda Sains Bioindustri daripada  Universiti Putra Malaysia itu. — Bernama