Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

PUTRAJAYA: Setelah lebih setahun negara melalui liku-liku serta cabaran dalam mendepani wabak COVID-19, guru juga tidak terkecuali dalam menjayakan misi penting mereka iaitu untuk terus mengajar dan mendidik murid.

Bagi guru, tugas mendidik berjalan seperti biasa, namun mereka perlu bekerja lebih keras berbanding sebelum ini bagi menyesuaikan diri dengan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan (KPM) semasa pandemik ini.

“Sekarang musim COVID-19, kita nampak cabaran adalah untuk guru juga kerana daripada mengajar secara bersemuka kini berubah kepada secara dalam talian, jadi guru perlu lebih kreatif,” itu pesanan penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2021, Noorizan Mohammed.

Bekas pengetua SMK Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor itu berkata pendidik kini perlu lebih peka kepada perubahan serta transformasi pendidikan untuk melahirkan murid yang cemerlang secara holistik termasuk dari segi akademik, kokurikulum dan sahsiah.

Noorizan yang berkhidmat sebagai guru selama hampir 35 tahun mengakui murid ketika ini tidak hanya perlu mendengar apa yang diajar oleh guru, tetapi juga perlu berinteraksi secara dua hala supaya mereka dapat berfikir dengan baik.

“Maknanya, guru perlu perbanyakkan program untuk membentuk kemenjadian murid di sekolah supaya mereka lebih kreatif, berinovasi dan berdikari,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama, RTM dan DidikTV KPM di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau berkata disebabkan penularan COVID-19, tugas guru kini semakin mencabar apabila mereka tidak boleh mengajar secara bersemuka, sebaliknya perlu mengadaptasi dengan kaedah PdPR.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai penasihat pendidikan untuk Program Sekolah Amanah di Jeli, Kelantan, berkata bagi sekolah di kawasan pedalaman terutamanya, guru perlu kreatif untuk menyiapkan modul kepada murid yang menghadapi kekangan peranti atau rangkaian.

“Mujur ibu bapa semakin faham dengan PdPR dan guru juga semakin kreatif, berinovasi dan pandai mengajar menggunakan kaedah itu, dan murid juga lebih banyak terlibat berbanding tahun lepas,” katanya yang berazam untuk terus menabur bakti dalam bidang pendidikan.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran (Januari 2020 - April 2021) Datuk Dr Habibah Abdul Rahim serta bekas Ketua Pengarah Pelajaran (Oktober 2017 - Disember 2019) Datuk Dr Amin Senin pula dipilih sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021.

Turut menyentuh isu PdPR, Habibah berkata pandemik COVID-19 adalah antara cabaran sukar bukan sahaja untuk KPM tetapi juga sekolah, guru dan ibu bapa yang mempunyai anak di rumah.

Beliau berkata beberapa keputusan sukar perlu dibuat untuk menjaga keselamatan dan kesihatan murid, dan pada masa sama perlu juga pastikan PdP tidak ditinggalkan secara berterusan dalam situasi itu. 

“Walaupun belajar secara dalam talian, ini tidak sama dengan pembelajaran secara bersemuka dalam bilik darjah, dan kita tahu ada murid yang on (log masuk) sahaja tetapi video tidak dibuka. Jadi kita tidak tahu secara fizikal dia ada di situ atau tidak.

“Jadi, tentulah ada cara kreativiti guru bagi memastikan murid dapat bersama dalam PdPR tersebut, bagaimana kaedah supaya PdPR itu berlaku dengan menarik, sekali gus murid terus bermotivasi untuk belajar walaupun secara dalam talian,” katanya.

Habibah yang berpengalaman selama 34 tahun dalam bidang pendidikan, pernah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran Biologi di tiga sekolah menengah selama tujuh tahun sebelum melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan kemudiannya ditugaskan di KPM.

Amin pula menyentuh mengenai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), dan berpendapat pemansuhan sepenuhnya peperiksaan itu menunjukkan sistem pendidikan negara kini berada di landasan yang betul.

Menurut bekas guru mata pelajaran Matematik itu, hasrat awal pelaksanaan UPSR tersebut bagus untuk memberikan satu gambaran awam mengenai penguasaan murid sekolah rendah, tetapi akhirnya tujuan peperiksaan berkenaan telah ‘disalahgunakan’ sehingga memakan diri sistem pendidikan.

“Cuma sekarang ini kita kena fikirkan alternatif kepada UPSR. Oleh sebab ia dimansuhkan, kita perlukan pendekatan bagaimana kita boleh mendapatkan data yang berbentuk normatif yang memberi gambaran keseluruhan tentang pencapaian murid sekolah rendah.

“Namun, pandemik COVID-19 turut membawa rahmat, ia membantu kita berpatah balik untuk memastikan pelajar belajar. Ketika pandemik ini, orang tidak berbincang pasal peperiksaan pun, yang orang bagi tumpuan ialah bagaimana pelajar boleh belajar.

“Tidak pernah orang berbincang macam mana pelajar lulus peperiksaan. Malah, orang ramai pun berpandangan cara terbaik ialah tidak ada peperiksaan ketika era pandemik ini. Jadi maknanya orang telah balik kepada prinsip asas pendidikan,” katanya.

Ketiga-tiga tokoh itu menerima anugerah daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021.

Mereka masing-masing menerima hadiah bernilai RM50,000 dan sijil penghargaan. - Bernama