KURNIAWAN

KOTA KINABALU: Tiada rehat buat Sabah FC yang baru menamatkan pusingan pertama saingan Liga Super Ahad lalu dengan dua perlawanan pertama pusingan kedua berlangsung dalam minggu ini.

Skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto  itu akan meneruskan cabaran menentang Melaka United FC (MUFC) malam Rabu dan seterusnya berhadapan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Sabtu (8 Mei).

Ia bermakna mereka bermain tiga perlawanan dalam tempoh seminggu termasuk perlawanan terakhir pusingan pertama menentang Perak FC, Ahad lalu.

Sedikit melegakan, Sabah FC adalah tuan rumah semua perlawanan itu dan mereka ada bekalan baik dari penamat menang pusingan pertama dengan kemenangan 2-1  ke atas Perak FC di Stadium Likas, Ahad lalu.

Kurniawaan berkata, mereka tiada pilihan selain terus bekerja keras untuk memburu kemenangan sambil mengharap pemainnya dapat kekalkan rentak kemenangan.

Seperti biasa, Kurniawan tidak mendedahkan kesebelasan utama tetapi dijangka beliau terus meletakkan sandaran di kalangan pemain yang tersenarai dalam beberapa perlawanan terakhirnya.

"Pasukan ini tidak ada kesebelasan utama (tetap)..semua sama pentingnya. Para pemain yang betul-betul menunjukkan prestasi mereka dalam latihan pasti akan kita senaraikan selagi dia bisa memainkan `game plan' kita," kata Kurniawan.

Sambil itu, pencapaian Sabah FC dan MUFC pada pusingan pertama agak seimbang dengan masing-masing mencatat tiga kemenangan, empat seri dan empat kalah.

Rekod jaringan juga hampir sama dengan Sabah FC mencatat 14 gol dan 15 bolos manakala  MUFC 14 gol dan 16 bolos.

Pertemuan pusingan pertama kedua-dua pasukan di Melaka pada Mac lalu yang juga merupakan perlawanan pertama mereka musim ini juga berkesudahan seri 1-1.

Carta pusingan pertama Liga Super yang membabitkan 12 pasukan bagaimanapun menyaksikan Sabah FC di kedudukan lebih baik di tangga kelapan dengan 13 mata manakala MUFC di tangga kesembilan dengan 10 mata selepas ditolak tiga mata ekoran masalah kewangan.

Masih segar dengan kemenangan ke atas Perak Ahad lalu, Sabah FC yang kini turut dibantu sokongan penyokong di Stadium Likas berharap akan memulakan pusingan kedua dengan kemenangan.