PUTRAJAYA: Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara, pengukuhan pemantauan pengimportan daging, serta strategi menangani isu bekalan dan kenaikan harga bawang antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara Bilangan 1.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee secara hibrid itu semalam turut membincangkan laporan Status Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dan Prestasi Negara dalam Indeks Prestasi Malaysia Dalam Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2020.

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam kenyataan hari ini, cadangan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara itu disarankan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara sebelum ini. 

Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dicadangkan adalah mengikut kluster-kluster yang telah ditubuhkan sebelum ini iaitu Kluster Ketersediaan, Kluster Kebolehcapaian, Kluster Keselamatan Makanan dan Pemakanan dan Kluster Kestabilan dan Kemampanan, kata kementerian itu.

Menurut MAFI, idea serta saranan yang diketengahkan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif dalam mesyuarat tersebut akan diperhalusi dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dijangka bersidang pada Jun depan.

Jawatankuasa Eksekutif yang dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan  Industri Makanan itu ditubuhkan bagi menyelaras cadangan untuk bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara serta mengawal selia pelaksanaan keputusan dan arahan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara. 

"Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah progresif bagi memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agromakanan ke tahap yang lebih baik, sekali gus memastikan bekalan makanan terjamin, mencukupi dan terkawal dalam apa jua keadaan," kata MAFI.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara itu disertai secara dalam talian oleh 17 ahli tetap yang terdiri daripada ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi, ahli-ahli akademik serta pemain-pemain industri dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif itu dijadualkan bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi membincangkan hala tuju, strategi dan isu berkaitan sekuriti makanan negara. - Bernama