KUCHING: Dewan Masyarakat Melayu di Kapit akan beroperasi sebagai Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Markas 1 Divisyen, Tentera Darat Malaysia berkata ia adalah bagi menampung pesakit bukan jangkitan COVID-19 di daerah Kapit.

"Perancangan pergerakan Elemen Perubatan dari 1 Divisyen direncanakan akan bergerak ke Kapit dalam minggu pertama Mei 2021.

"Kumpulan tinjauan telah pun berada di Kapit untuk mengkoordinasikan keperluan bersama Pihak Berkuasa Tempatan. Ini termasuk perancangan atur gerak anggota dan asset perubatan," kata kenyataan Markas 1 Divisyen, hari ini.

Pembukaannya adalah susulan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Adham Baba mengenai perbincangan bersama Kementerian Pertahanan untuk mewujudkan Hospital Medan di Sarawak.

"Hospital Kapit merupakan hospital daerah berpakar yang mempunyai kapasiti terhad.

"Melihat kepada bilangan kes positif jangkitan Covid-19 yang meningkat mendadak di kawasan tersebut menyebabkan Hospital Kapit menghadapi kekangan menampung jumlah pesakit dalam satu-satu masa," katanya.