Gambar sekadar ilustrasi.

KUCHING:Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berharap kerajaan Sarawak mempertimbangkan semulakeputusan untuk menerima vaksin AstraZeneca (AZ) COVID-19.

Menurutnya, vaksin AZ terbukti telah mendapat sambutan menggalakkan dan orang ramai yakin dengan keselamatannya apabila ia dibuka pendaftarannya secara sukarela di Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau yang dipetik menerusi laporan BERNAMA berkata:

"Semalam, kita tengok keyakinan (orang ramai) terhadap AZ sangat baik sekali. Terpulang kepada kerajaan Sarawak, sekiranya mereka buat keputusan untuk terima AZ selepas berasa yakin, saya terbuka untuk buka (permohonan) di Sarawak," katanya.

Baru-baru ini penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Dato Sri Dr Sim Kui Hian menolak penggunaan vaksin AZ di negeri ini.

"Mereka yang ingin mendapat vaksin AstraZeneca COVID-19 secara sukarela boleh harus pergi ke mana-mana pusat vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Kenyataan Dr Sim itu susulan Khairy memaklumkan kerajaan akan memulakan proses pemberian suntikan vaksin jenis AstraZeneca kepada mereka yang mendaftar secara sukarela di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas.

Langkah suntikan di PPV khas itu dibuat bagi menangani ketakutan dan kegusaran rakyat terhadap vaksin itu, selain tidak mahu mengganggu program imunisasi.

Khairy pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan program imunisasi tersebut di Putra Jaya semalam berkataprogram pelaksanaan suntikan vaksin AZ COVID-19 secara sukarela akan diperluaskan setelah kesemua 268,000 slot temu janji telah dipenuhi hanya dalam tempoh tiga jam, pada Ahad.

Di bawah pelaksanaan program vaksinasi kedua vaksin berkenaan kelak, kerajaan akan menangani masalah individu yang tidak mempunyai akses Internet dan bekalan pengagihan vaksin.

“Demi perancangan masa depan program AstraZeneca (sukarela)… Kami akan menghubungi klinik komuniti supaya kami dapat (terus) menawarkan (vaksin) secara sukarela," katanya.

Malaysia akan mempunyai bekalan vaksin AZ yang mencukupi apabila sebanyak 1.1 juta dos vaksin dijadualkan tiba dari kemudahan COVAX pada Mei ini dan pada Jun sebanyak 610, 000 dos akan diperoleh dari syarikat farmaseutikal AstraZeneca sendiri.

Pada Julai sebanyak 410, 000 dos akan diterima manakala sebanyak 1.2 juta dos akan tiba pada Ogos dan September, nanti.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan memutuskan jarak masa untuk AZ esok berdasarkan keberkesanan, logistik dan peningkatan kes.