PETUGAS: Lo (empat kanan) bersama Pasukan Petugas Kesedaran Vaksinasi COVID-19 GERAKAN Sabah.

KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) Sabah Datuk Alexander Lo Su Hyen meminta rakyat Sabah untuk mendaftar vaksinasi COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera secepat mungkin untuk mempercepatkan kadar penghasilan imuniti kelompok di  Sabah.

Lo berkata, kurang dari 20 peratus rakyat Sabah mendaftar untuk vaksinasi dan ia pastinya menghalang tujuan mendapatkan imuniti kelompok.

Beliau berkata, jumlah jangkitan baharu setiap hari meningkat antara dua hingga tiga angka kerana tercetusnya wabak berulang di Sabah.

Katanya, walaupun jumlah vaksin COVID-19 yang diperuntukkan di Sabah oleh kerajaan Persekutuan tidak ideal, namun penting bagi rakyat untuk mendaftar vaksinasi secepat mungkin.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan akan digesa untuk mengagihkan lebih banyak vaksin ke Sabah sekiranya lebih banyak yang mendaftar untuk suntikan vaksinasi COVID-19.

Lo turut berkata, GERAKAN secara aktif menyokong kempen kerajaan Persekutuan untuk menggalakkan orang ramai mendaftar dalam program vaksinasi COVID-19.

Beliau berkata, pihaknya juga melaksanakan projek utama GERAKAN iaitu mengedarkan pelitup muka dan risalah kepada penduduk dan peniaga-peniaga di Tuaran.