PRESTASI UNGGUL: Hamilton keluar dari kenderaannya selepas tamat perlumbaan Formula 1 Grand Prix Portugal di Litar Antarabangsa Algarve di Portimao. — Gambar AFP

PORTIMAO:Pemandu pasukan Mercedes, Lewis Hamilton mempamerkan pemanduan cemerlang untuk memenangi perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix Portugal dan mengatasi pencabar terkuatnya, Max Verstappen pada Ahad.

Kemenangan ini adalah yang ke-97 dalam kerjaya Hamilton dan menjarakkan kedudukan secara keseluruhan pemandu berbanding Verstappen, pemandu pasukan Red Bull kepada lapan mata.

Di tempat ketiga ialah pemandu yang bermula di petak pertama, Valtteri Bottas yang juga rakan sepasukan Hamilton sementara Sergio Perez di tempat keempat untuk pasukan Red Bull.

“Ia adalah satu perlumbaan sukar dari segi fizikal dan mental. Saya tidak mempunyai permulaan yang baik dan juga hilang kedudukan di awal perlumbaan tetapi ia keputusan yang hebat pada akhirnya,” kata Hamilton.

“Hari ini tidak sempurna tetapi kami perlu kembali bersedia dengan cepat untuk perlumbaan di Sepanyol.”

Pada permulaan perlumbaan di Litar Antarabangsa Algarve, Bottas mendahului Hamilton dari selekoh pertama dan menjelang akhir pusingan pertama, kereta keselamatan dimasukan selepas dua pemandu pasukan Alfa Romeo, Kimi Raikkonen dan Antonio Giovinazzi berlanggar sesama mereka.

Bottas kembali mendahului apabila perlumbaan disambung semula tetapi pada pusingan ketujuh, beliau melihat Verstappen memintas Hamilton ke tangga kedua.

Tetapi empat pusingan selepas  itu, Verstappen melakukan kesilapan, membolehkan Hamilton kembali ke kedudukan kedua sebelum berjaya memintas pada awal pusingan ke-20.

Verstappen lebih awal memasuki pit untuk menukar tayar pada pusingan ke-26 dengan Bottas menyusul tidak lama selepas itu dan diikuti Hamilton.

Dengan berbaki 13 pusingan, Hamilton berjaya memintas Perez untuk kembali mendahului perlumbaan dan dari situ, beliau tidak menoleh ke belakang.

“Saya fikir Max melakukan satu kesilapan dan ia memberi kesan kepada perlumbaan. Saya harus memintas Valtteri sebelum tayar saya hilang cengkaman dan saya berjaya memintas pada selekoh pertama,” tambah Hamilton.

“Kami tidak berada di tahap terbaik di sini tetapi kami akan lihat apa yang boleh kami lakukan di Barcelona,” kata Verstappen, yang merujuk kepada perlumbaan di Sepanyol hujung minggu ini.

Red Bull muncul pencabar serius kepada Mercedes sejak beberapa tahun lalu tetapi Mercedes kelihatan berjaya mencari penyelesaian untuk menangani cabaran Red Bull.

Dan selepas tiga perlumbaan setakat musim ini, Hamilton menang dua kali selepas kali pertama di Bahrain, dengan Verstappen muncul juara di Imola.

Berada di tangga ketiga keseluruhan ialah Lando Norris dari pasukan McLaren, yang menduduki tempat kelima.

Beliau mengatasi pemandu Ferrari, Charles Leclerc, dengan dua pemandu Alpine, Esteban Ocon dan Fernando Alonso, Daniel Ricciardo (McLaren) dan Pierre Gasly (Alpha Tauri) melengkapkan 10 pemandu teratas yang menamatkan perlumbaan. — AFP