BANTUAN PERUBATAN: Ding menghadiri majlis ringkas penyerahan mesin perubatan kepada Hospital Sarikei.

SARIKEI:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong Datuk Ding Kuong Hiing menyumbang peralatan perubatan berjumlah RM76,000 kepada Hospital Sarikei.

Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Daerah Sarikei itu berkata sumbangan tersebut memberi lebih kemudahan perubatan kepada hospital terbabit merawat dan memantau perkembangan pesakit dijangkiti virus COVID-19.

“Antara mesin peralatan disumbangkan adalah dua unit ‘Patient Monitor’ bernilai RM16,000, empat unit ‘Vital Sign Monitor’ (RM19,200), enam unit ‘Infusion Pump’ (RM20,400) dan enam unit ‘Syringe Pump’(RM20,400).

“Kita berharap dengan penambahan mesin perubatan ini dapat membantu kakitangan perubatan merawat pesakit dan meringankan beban tugas mereka sebagai barisan hadapan,” katanya ketika hadir pada majlis ringkas penyerahan bantuan tersebut.

Kehadiran Ding bersama rombongan di hospital tersebut disambut Pengarah Hospital Sarikei Dr Teh Siew Chang dan kakitangan hospital.

Katanya, beliau amat menghargai pengorbanan dan komitmen diberikan petugas barisan hadapan dalam membendung penularan pandemik COVID-19.

“Sebagai tanda terima kasih terhadap jasa dan pengorbanan golongan ini, kita menyeru masyarakat agar mematuhi prosedor operasi standard (SOP) ditetapkan dan mengamalkan langkah-langkah kesihatan diri.

“Melalui kerjasama dan pematuhan SOP kita yakin penularan wabak ini dapat diputuskan dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” jelasnya.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Teng Ung Woo.