DRON: Lee memberi taklimat kepada pemberita semasa sesi menguji salah satu unit dron yang digunakan untuk melakukan pemantauan di kawasan tanah gambut di Kuala Baram.

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPPB) Miri memberi amaran kepada orang ramai di sini agar tidak mencetuskan sebarang pembakaran terbuka yang boleh  mengakibatkan situasi berjerebu di Miri.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang juga menteri bertanggungjawab terhadap JPPB Miri mendedahkan situasi jerebu jika berlaku akan memburukkan keadaan di bahagian ini yang masih berada dalam Zon Merah wabak COVID-19.

"Sekiranya keadaan jerebu berlaku itu mempengaruhi kesihatan penduduk dan memburukkan situasi akibat wabak COVID-19 masih berlaku di sini.

"Kita masih dalam pandemik COVID-19 dan untuk pengetahuan pesakit menghadapi masalah pernafasan.

“Justeru, kita tidak boleh membiarkan pembakaran terbuka berlaku terutama di Miri yang memiliki kawasan tanah gambut luas," katanya semasa melakukan lawatan ke tiga pos pemantauan jerebu di Kuala Baram di sini semalam.

Lee mengakui amat sukar memadamkan kebakaran di kawasan gambut kerana bukan hanya melibatkan kebakaran di bahagian atas sahaja tetapi sehingga ke dalam tanah.

"Kita memberi cukup peringatan kali ini, pasukan penguat kuasa mengambil tindakan tegas dengan segala bukti yang ada.

"Justeru, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang malah kepada pemilik tanah besar (komersial) dengan melengkapkan kertas siasatan dan membawa mereka ke muka pengadilan," jelasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu semasa melawat ke tiga lokasi pos pemantauan tersebut semalam, memberitahu bahawa tindakan itu adalah sebahagian langkah pencegahan tegas diambil mencegah kebakaran tanah gambut khususnya di Kuala Baram.

Beliau berkata, pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) turut menempatkan anggotanya bertugas selama 24 jam memantau situasi di ketiga-tiga pos pemeriksaan itu bagi memberi maklumat dan maklum balas segera jika ada kebakaran tercetus di kawasan gambut sebelum menjadi marak sehingga sukar dikawal.

Selain itu, jawatankuasa pengurusan tahun ini menerusi agensi Lembaga Alam Sekitar dan Sumber Asli (NREB) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menggunakan teknologi dron bagi melakukan pengawasan dari udara memantau kawasan rentan dan berisiko tinggi jika berlaku kegiatan pembakaran terbuka.

Hasil lawatannya dan maklum balas pasukan penguat kuasa di peringkat lapangan, Lee berpuas hati dengan usaha mereka yang sehingga kini menunjukkan keberkesanan dalam penguatkuasaan sehingga dapat mencegah kebakaran di kawasan tanah gambut.

Lee memberitahu, sejak seminggu lalu hanya terdapat beberapa kes kebakaran kecil yang dilaporkan di Kuala Baram dan semua kebakaran dipadamkan segera.

Pasukan penguat kuasa juga mengeluarkan kompaun terhadap petani kerana melakukan aktiviti pembakaran terbuka di tepi jalan.

Pada saat sama, Lee juga mendesak pemilik tanah khususnya pemilik tanah persendirian yang besar dan tanah komersil supaya mengawasi tanah masing-masing dan memastikan kawasan mereka bebas daripada kegiatan pembakaran terbuka.

Beliau juga menyarankan mereka memantau tanah masing-masing dengan menggunakan teknologi dron bagi melengkapkan usaha dilakukan pihak berwajib dalam membantu mengatasi masalah pembakaran terbuka di tanah gambut.

Antara agensi dan jabatan kerajaan terlibat dalam JPBB Miri bagi menangani jerebu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA, NREB, JAS, Majlis Bandaraya Miri (MBM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Jabatan Tanah dan Survei (JTS) serta pasukan polis selain Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Miri.