KUCHING: Ahli Parlimen Selangau Baru Bian (gambar) menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) agar mempertimbangkan semula penolakan vaksin COVID-19 keluaran AstraZeneca kepada rakyat negeri ini.

Baru berkata, ia bagi membolehkan rakyat Sarawak diberi pilihan yang sama seperti rakyat Malaysia yang lain.

"Saya  percaya bahawa kita mampu membuat keputusan yang tepat, dan banyak yang ingin menerima vaksinasi mereka lebih awal.

"Perlindungan mesti ada untuk memastikan bahawa mereka yang mendaftar benar-benar memahami risiko dan membuat pilihan tepat. Namun jangan merampas hak rakyat untuk membuat pilihan," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Sarawak Bersatu (PSB) berkata, program pilihan untuk vaksin AstraZeneca di Selangor dan Kuala Lumpur sangat berjaya, dengan semua 260,000 slot diambil dalam masa tiga jam dari pembukaan pendaftaran.

Katanya, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah mengumumkan bahawa Sarawak akan menerima penghantaran bulanan vaksin ini dalam beberapa akan datang dan pilihan ini akan disediakan untuk semua rakyat Malaysia. 

Tambah Baru walaupun ramai dikalangan rakyat Sarawak telah menyatakan bahawa mereka tidak mahu vaksin AstraZaneca, namun mungkin ada banyak yang akan mengambilnya selepas mempertimbangkan risiko dan manfaatnya.

Baru-baru ini penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Dato Sri Dr Sim Kui Hian menolak penggunaan vaksin AZ di negeri ini.

"Mereka yang ingin mendapat vaksin AstraZeneca COVID-19 secara sukarela boleh harus pergi ke mana-mana pusat vaksinasi di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Kenyataan Dr Sim itu susulan Khairy memaklumkan kerajaan akan memulakan proses pemberian suntikan vaksin jenis AstraZeneca kepada mereka yang mendaftar secara sukarela di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khas.

Langkah suntikan di PPV khas itu dibuat bagi menangani ketakutan dan kegusaran rakyat terhadap vaksin itu, selain tidak mahu mengganggu program imunisasi.

Mengenai cadangan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang telah memohon kepada kerajaan persekutuan berkenaan vaksin satu dos iaitu CanSino kepada penduduk luar bandar Baru berkata, ia amat praktikal.

"Ia praktikal agar orang ramai tidak perlu melakukan dua kali perjalanan ke pusat vaksinasi untuk mendapatkan dua dos. Saya dimaklumkan vaksin ini sepatutnya tiba secara berkala mulai bulan lepas. Adakah vaksin CanSino ini telah tiba," katanya.

Mengulas lanjut beliau pada masa yang sama mencadangkan kepada JPBNS mempertimbangkan untuk menggerakan pejabat-pejabat daerah menjalankan program pendaftaran vaksinasi bersama pemimpin masyarakat dengan meyakinkan rakyat tentang keselamatan serta keberkesanan vaksin.

"Pendaftaran yang rendah iaitu 55 peratus populasi yang layak untuk vaksinasi seolah-olah menunjukkan masyarakat takut akan vaksin.

"Saya menggesa kepada penduduk luar bandar untuk mendaftar agar kita dapat mencapai imuniti kelompok lebih cepat," katanya.