TEGAS: Seorang penunjuk perasaan terkena jet air yang dilepaskan dari meriam semasa bertelingkah dengan polis antirusuhan di taman Bois de La Cambre di Brussels, kelmarin. — Gambar AFP

BRUSSELS: Pihak polis Belgium melepaskan tembakan meriam air dan gas pemedih mata ketika mereka bergerak masuk kelmarin bagi meleraikan ratusan orang yang berkumpul di sebuah taman menganjurkan edisi kedua festival haram ‘La Boum - L’Abime’ bagi membantah peraturan kawalan pergerakan COVID-19.

Sehingga waktu senja orang ramai bersurai, namun pejabat datuk bandar Brussels mengumumkan 15 tangkapan, seorang penunjuk perasaan tercedera akibat meriam air dan dua anggota polis tercedera.

Penunjuk perasaan, kebanyakan kumpulan belia yang membawa suar dan kain rentang antipelitup muka, berkumpul bagi bantahan yang dikenali sebagai ‘Boum 2’ yang dianjurkan secara dalam talian susulan kepada protes yang telah dipatahkan pada bulan lepas.

Pihak berkuasa bandar raya menyatakan bahawa ketika kemuncaknya orang ramai mencecah kira-kira 1,500 orang namun hanya 700 orang yang pada awalnya menentang arahan untuk bersurai.

Perdana Menteri Alexander de Croo menggesa orang ramai agar menjauhkan diri, manakala ratusan anggota polis dikerahkan sebelum arahan untuk meninggalkan kawasan taman itu dikeluarkan.

Wartawan AFP melaporkan di Bois de la Cambre, sebuah taman besar di bandar itu, bunga api dilepaskan dan beberapa misil dilontar sebelum pihak polis bertindak masuk.

“Kami melihat langkah-langkah kesihatan tidak dihormati,” umum pihak polis dalam Twitter, selepas beberapa dron yang dilengkapi dengan alat pembesar suara menyeru penggunaan pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Polis Brussels akan terus mengosongkan kawasan itu,” menurut ciapan tersebut, namun beberapa wartawan AFP di taman tersebut tidak mendengar sebarang arahan untuk bersurai.

Ketika operasi pengosongan bermula terdapat sedikit petanda ketara mengenai bantahan ganas penunjuk perasaan namun satu tong sampah dibakar ketika orang ramai bersurai.

“Kami di sini bagi melindungi kebebasan kami.

“Pelitup muka? Saya tidak menggunakannya lagi.

“Saya ingin bebas,” menurut seorang penuntut sekolah tinggi berusia 18 tahun dari West Flanders, pinggir bandar tersebut.

Ketika kereta polis dan trak berperisai dengan meriam air memasuki kawasan rumput berhampiran bahagian tengah perhimpunan, penunjuk perasaan melaungkan: “Kebebasan, kebebasan.”

Sebuah helikopter dan sebuah dron berlegar di atas udara, namun muzik yang dimainkan penunjuk perasaan menenggelami arahan polis bagi pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Sudah setahun,” seorang wanita berusia 21 tahun dari bandar utama Belgium memberitahu AFP.

“Sepanjang tahun kami tidak boleh keluar.

“Selepas seketika anda memerlukan satu alternatif,” katanya lanjut.

Belgium telah berada di bawah kawalan pergerakan negara yang kedua sebagai langkah pencegahan COVID-19, manakala bar dan restoran telah ditutup sejak Oktober tahun lepas.

Namun program vaksinasi sedang cuba dijalankan dengan segera dan kegiatan makan dan minum di luar dijangka diteruskan pada 8 Mei, serta pihak berkuasa telah merayu bagi keadaan tenang.

Norton, 23, seorang tukang masak yang telah kehilangan pekerjaannya di restoran, menyatakan rancangan mereka bukanlah untuk memprovokasi keganasan namun bagi menuntut penamat kepada langkah kawalan virus yang tidak logik.

Pada 1 April, sebulan kemudian, 2,000 orang berkumpul di Bois de la Cambre dan beberapa orang telah tercedera, begitu juga beberapa anggota polis dan kuda, ketika pertikaian tercetus.

Setakat kelmarin, beberapa hospital di Belgium telah merawat 2,707 pesakit COVID-19, 854 daripada mereka berada dalam unit rawatan rapi.

Sejak permulaan krisis setahun lepas, 990,229 orang di negara yang mempunyai 11 juta penduduk ini telah dijangkiti dan 24,230 daripadanya telah meninggal dunia. — AFP