Herman menunjukkan ganja yang dirampas di LTAK pada minggu lepas.

KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak merampas 36.956 kilogram dadah jenis ganja dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sepanjang tempoh seminggu lepas.

Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah berkata, rampasan yang pertama tahun ini yang melibatkan dadah jenis ganja itu membabitkan jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM92,390.00

Jelasnya, kedua-dua kes itu membabitkan cubaan membawa masuk dadah ke negeri ini menerusi LTAK yang disorok menggunakan bagasi penumpang. 

"Kes pertama pada 28 April 2021 sekitar jam 3.25 petang, Pegawai Kastam Unit Khas Pemeriksaan Penumpang LTAK telah membuat imbasan ke atas bagasi penumpang wanita yang baru tiba dari Kuala Lumpur.

"Hasil imbasan tersebut menunjukkan imej yang mencurigakan dan pemeriksaan rapi ke atas bagasi kemudiannya membawa kepada penemuan 18 bungkusan yang dibaluti menggunakan kertas hadiah dan kertas karbon, mengandungi daun tumbuhah mampat disyaki dadah jenis ganja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Herman memberitahu, kesemua 18 bungkusan mampat yang disyaki ganja itu dianggarkan seberat 18.264 kilogram dengan nilai anggaran berjumlah RM45,600.00

Berikutan itu, wanita tempatan yang berusia 20-an yang bekerja sambilan sebagai ejen insuran ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. 

"Wanita berkenaan telah pergi ke Kuala Lumpur 22 April 2021 bagi tujuan melawat dan menjaga ibunya di hospital dan semasa di sana dia mendakwa rakannya telah mengirim bagasi untuk dibawa balik ke Kuching pada 28 April 2021," tambahnya. 

Jelasnya lagi, siasatan awal mendapati suspek telah dijanjikan habuan pekerjaan di sebuah syarikat di Serian dan mengesyaki wanita terbabit dijadikan 'keldai dadah'. 

"Modus operandi, dadah ini dibawa dengan memasuki Kuching menggunakan penerbangan domestik dari Kuala Lumpur dan membawa barangan disyaki dadah dalam bungkusan yang dibalut dengan kertas pembalut hadiah serta dilapis dengan kertas karbon dipercayai bagi mengelirukan pihak berkuasa," dedahnya.

Kes kedua pula, Herman berkata, pada 1 Mei 2021 sekitar jam 1.45 petang, Pegawai Kastam Unit Khas Pemeriksaan Penumpang LTAK telah membuat imbasan ke atas sebuah bagasi penumpang yang tidak dituntut.

Katanya, berdasarkan semakan bagasi berkenaan tiba dari Kuala Lumpur pada 2 Aprik 2021 dan pemiliknya dipercayai dikuarantin sebaik tiba di Kuching.

"Hasil imbasan ke atas bagasi tersebut telah menemukan 19 bungkusan lutsinar yang mengandungi daun tumbuhan mampat disyaki dadah jenis ganja seberat dianggarkan 18.629 kilogram dengan nilai RM46, 730," ujarnya.

Menurut beliau, dipercayai bagasi berkenaan sengaja ditinggalkan dan tidak dituntut oleh mana-mana individu setelah menyedari kawalan dan pemeriksaan ketat dilakukan oleh Kastam di LTAK.

Ekoran itu, katanya, bagasi tersebut disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pengesanan ke atas pemilik bagasi berkenaan berdasarkan kepada rekod syarikat penerbangan dijalankan dan kastam percaya tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai untuk membantu kastam dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atay Pejabat Kastam terdekat di semua negeri yang mana identiti setiap pemberi maklumat dijamin adalah rahsia," ujarnya.