RAWAT: Gambar fail menunjukkan pekerja perubatan merawat pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi di Hospital Awam Sao Bento di Abaetetuba, Brazil pada 23 April lalu. — Gambar AFP

BRASILIA: Angka kematian di Brazil akibat pandemik COVID-19 melepasi 400,000 kelmarin, menyaksikan negara itu bertungkus-lumus untuk membekalkan vaksin secukupnya sementara Se-nat sedang menyiasat sama ada pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro telah memburukkan lagi krisis itu.

Kementerian kesihatan melaporkan 3,001 kemati-an COVID-19 dalam 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan di Brazil sebanyak 401,186, kedua terbanyak selepas Amerika Syarikat.

Dengan 212 juta penduduk, negara Amerika Selatan itu juga mencatatkan kadar kematian tertinggi dalam pandemik itu, dengan 189 kematian setiap 100,000 orang, paling buruk dalam Amerika dan ke-14 di seluruh dunia.

Brazil telah binasa oleh kerana peningkatan kes sejak awal tahun ini yang hampir melumpuhkan hospital di banyak kawasan.

Walaupun ia kelihatan telah melepasi kemuncak gelombang baharu, angka kematian harian masih kekal amat tinggi, dengan purata 2,526 pada minggu lalu, selepas India.

Pakar menyalahkan pe-ningkatan baharu itu ke atas “varian Brazil” virus tersebut, satu mutasi yang muncul dalam atau sekitar bandar Amazon, Manaus pada Disember.

Dikenali sebagai P1, ia boleh menjangkiti semula pesakit yang telah dijangkiti virus asal, dan mungkin lebih  mudah menular.

Sekitar 28 juta penduduk Brazil sudah menerima dos pertama vaksin, iaitu 13 peratus daripada populasinya.

Sekitar 12.7 juta pula sudah menerima suntikan kedua.

Namun bandar dalam 14 daripada 27 negeri Brazil telah menangguhkan dos kedua akibat kekurangan bekalan.

Sementara itu, Senat telah memulakan siasatan pada Selasa untuk merungkai sama ada terdapat jenayah peng-abaian dalam pentadbiran Bolsonaro semasa menangani pandemik tersebut.

Presiden haluan kiri itu menimbulkan kontroversi apabila memperlekehkan virus tersebut, menentang pendekatan tinggal di rumah bagi mengawal penularan dan menolak tawaran pelbagai vaksin. — AFP