TANGANI ISU TANAH: (Duduk dari kiri) Abun, Zulhaidah, Joshua, Dr Teo, ahli PKR dan peserta bergambar di Pusat Komuniti Keadilan semalam.

MIRI: Pelaksanaan ‘agrarian reform’ atau pembaharuan agrarian diyakini mampu mengatasi sepenuhnya isu-isu tanah termasuk pemilikan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini.

Setiausaha Majlis Pemimpin Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Joshua Jabeng berkata, ia merupakan alternatif dan juga satu-satunya cara untuk menyelesaikan pertikaian tanah NCR yang tiada kesudahan.

“Objektifnya adalah untuk menempatkan semula penduduk ke tanah mereka, memberi hak terhadap tanah mereka dan menyokong mereka dengan membangunkan tanah yang dimiliki secara komersial,” jelas beliau.

Joshua memberitahu, dengan mengadaptasi skim FELDA, rakyat berpeluang memiliki tanah sendiri dan membangunkannya untuk tanaman komersial.

Penempatan semula rakyat di kawasan skim katanya, juga cara mengatasi masalah setinggan di negeri ini.

“Kita menggunakan model daripada skim FELDA di mana setiap keluarga diperuntukkan 10 ekar yang sesuai dibangunkan untuk setiap isi rumah.

“Setiap peserta harus membangunkan tanah dengan tanaman komersial dalam tempoh 15 tahun,” jelasnya.

Selain itu, parti juga sedang belajar dan mengkaji pelaksanaan pembaharuan tanah untuk pertanian di Filipina.

Skim di negara tersebut katanya, membolehkan peserta memperolehi pendapatan mampan sekali gus mengurangkan masalah kemiskinan di kalangan rakyat luar bandar dan pedalaman.

Dengan adanya banyak aktiviti menguntungkan di kawasan kediaman akan mengurangkan penghijrahan penduduk ke bandar dan luar negara, tambahnya.

“Ini bukan bantuan one-off atau subsidi tetapi sokongan mampan untuk setiap peserta dalam skim pembangunan tanah.

“Kita akan laksana secepat mungkin dengan syarat kita menubuhkan kerajaan kerana banyak perundangan yang perlu kita kaji untuk mengatur semua ini,” jelasnya.

Joshua berkata, pembaharuan agrarian juga antara agenda utama dan manifesto yang akan diperjuangkan oleh parti dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sarawak memiliki tanah seluas 30.7 juta ekar yang boleh dikongsi dan dimanfaatkan oleh 2.8 juta rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Menurutnya, pengagihan tanah yang meluas kepada syarikat swasta disifatkan tidak adil untuk rakyat yang seharusnya diberi peluang untuk mengusahakan tanah sendiri.

Dengan memfokus kepada pembangunan komersial, Sarawak mampu menjadi pengeluar makanan utama di rantau Asia dari hasil berterusan diusahakan rakyat di tanah masing-masing.

“Saya berharap rakyat Sarawak teruja kerana sekarang mereka ada harapan baharu untuk mendapat kembali tanah mereka.

“Dan kepada mereka yang belum memiliki tanah, mereka juga diberi harapan kerana terdapat tanah yang boleh diusahakan semua,” jelasnya.

Sekiranya memerintah, Pakatan Harapan (PH) mahu memperluaskan konsep pembaharuan agrariannya menerusi Lembaga Pembangunan Tanah Ekonomi Sarawak (SELDA), katanya lagi.

“Setiap peserta atau pemaju akan diperuntukkan 10 ekar tanah. PH mahu bermula dengan 200,000 ekar tanah melibatkan 20,000 isi rumah dengan pelan skim selama 15 tahun termasuk hak milik tanah untuk setiap peserta,” jelasnya.

Dalam pada itu, seramai 30 peserta termasuk calon-calon berpotensi PKR untuk PRN terlibat dalam bengkel berkaitan isu tanah NCR di Pusat Komuniti Keadilan di Jalan Brighton.

Aktiviti sehari itu disertai ahli dari Miri, Bekenu, Lambir, Marudi, Ba’ Kelalan, Bukit Kota, Telang Usan, Mulu dan Baram.

Hadir sama Ahli Parlimen Miri yang juga Ketua PKR Miri Dr Michael Teo, Ketua PKR Baram Roland Engan, Ketua PKR Hulu Rajang Abun Sui Anyit dan Ketua Wanita PKR Sibuti Zulhaidah Suboh.