TAHA

KOTA KINABALU: Sebanyak 329 premis diperiksa di seluruh Sabah melalui Op Pantau sejak hari pertama Ramadan bagi memantau kenaikan harga barangan sepanjang bulan Ramadan ini.

Pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati tidak berlaku kenaikan harga barangan yang mendadak di Sabah.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah Taha Julai berkata, berdasarkan pemeriksaan di bawah Op Pantau, pihaknya mendapati berlaku sedikit kenaikan harga barangan di sesetengah premis di sekitar pusat bandaraya terutama harga ayam.

Namun, setakat ini KPDNHEP Sabah belum menerima sebarang laporan mengenai kenaikan harga barangan.

Beliau berkata, pada hari biasa harga siling ayam super di Sabah sekitar RM9.80 hingga RM12 sekilogram. Tetapi, berdasarkan pemantauan yang dibuat berlaku sedikit trend peningkatan harga.

“Walaupun ketika ini harga ayam tidak dikawal namun, pejabat kami akan mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis bermula 15 April.

“Kami akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan bagi meminta penternak/pengeluar dan pemborong menjelaskan punca kenaikan harga barangan yang dijual. 

“Penternak dan pengeluar perlu mengemukakan bukti atau invois harga baharu. Kita melihat kenaikan harga ini pada dua peringkat iaitu penternak/pengeluar dan pemborong,” katanya ketika dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sekiranya ada unsur mencatut dan peniaga ingin mengambil keuntungan berlebihan secara tidak munasabah, tindakan akan diambil.

Menurutnya, trend kenaikan harga barangan semasa bulan Ramadan bukan sesuatu yang normal. Kenaikan harga boleh berlaku sekiranya muncul pemborong yang hanya beroperasi semasa bulan Ramadan sahaja kerana dia tahu permintaan tinggi.

Katanya atas sebab itulah, KPDNHEP Sabah melaksanakan pemantauan setiap hari di kawasan tumpuan pembeli. Biarpun tiada bazar Ramadan di Sabah, pihaknya masih memantau di pusat-pusat jualan juadah Ramadan, pasar serta pasar raya.

Beliau turut memberi jaminan bekalan barangan termasuk ayam di Sabah ketika ini mencukupi dan kenaikan harga yang tidak munasabah akan dielakkan daripada berlaku.

“Kenaikan harga barangan semasa bulan Ramadan sangat minima. Berdasarkan pemantauan pada tahun-tahun sebelum ini, terdapat kurang 10 kes membabitkan kenaikan harga barangan.

“Malah semasa pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan (SHMMP), kes melibatkan kenaikan harga barangan juga sangat kurang,” katanya.