LAWATAN RASMI: Zuraida beramah mesra dengan penduduk setempat ketika melawat Pasar Awam Jementah, Segamat semalam. Pasar awam ini antara enam lokasi pembangunan kemudahan awam yang akan dinaik taraf di Daerah Segamat. — Gambar Bernama

SEGAMAT: Kerajaan meluluskan peruntukan kira-kira RM5.8 juta kepada Majlis Perbandaran Segamat (MPS) bagi inisiatif pembinaan dan menaik taraf kemudahan awam demi membantu me-ningkatkan aktiviti ekonomi, pelancongan serta pendapatan penduduk setempat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, projek pembinaan dan menaik taraf itu melibatkan enam lokasi dengan lima daripadanya di Parlimen Segamat manakala satu di Parlimen Sekijang iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis.

“Segamat ada potensi, oleh kerana daerah ini termasuk (jauh) sedikit dari jalan utama lebuh raya, jadi ia agak ketinggalan sedikit dari segi pembangunan. Sudah tiba masanya kerajaan negeri dan pusat memberi tumpuan (pembangunan) kepada Segamat.

“Disebabkan kita lihat bahawa Segamat ini ada potensi, maka kita harus bagi sedikit peruntukan untuk membantu mereka meningkatkan lagi aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pasar Awam Jementah sempena lawatan rasminya ke MPS di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Segamat Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Ayub Jamil.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membina Pusat Rekreasi Awam di pesisir Sungai Segamat, Jalan Sultan dan RM1 juta bagi menaik taraf Pasar Awam Jementah serta Terminal Bas di Pekan Jementah.

Katanya, sebanyak RM1.5 juta turut diperuntukkan bagi pembangunan Medan Selera MPS di Pekan Jabi dan Gerai Serbaneka di Jalan Aji manakala baki RM1.3 juta lagi untuk pembinaan Dataran Yayasan dan Medan Selera di Taman Yayasan.

Zuraida berkata, kesemua projek pembinaan dan menaik taraf berkenaan dijangka bermula pada tahun ini dan akan mengambil tempoh antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan. — Bernama