HULUR SUMBANGAN: Rolland (empat kiri) menyampaikan cek kepada wakil PIBG SK Nanga Entaih, Julau diwakili oleh Stephen.

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin berkata perkembangan bidang pendidikan terutama kepada masyarakat di luar bandar terus menjadi agenda utama beliau sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.

Katanya, dalam memastikan misi itu dicapai dengan jayanya, komitmen semua pihak amat diperlukan dan tidak membebankan tanggungjawab kepada pihak sekolah sahaja.

“Kerjasama dan kesepakatan memajukan bidang pendidikan menjadi lebih mudah jika semua pihak tahu dan sedar tanggungjawab masing-masing dalam menentukan hala tuju pendidikan anak-anak generasi masa kini.

“Dewasa ini, bidang pendidikan jauh berbeza jika dibandingkan dengan sepuluh tahun lalu.

“Saingan merangkumi kepintaran, kecerdasan, aktif dalam bidang sukan dan cemerlang bidang akademik amat sengit dalam kalangan pelajar kita pada masa ini.

“Justeru, semua pihak perlu bekerjasama memberi sokongan moral kepada pelajar agar mereka dapat bersaing secara sihat mencapai kemajuan,” katanya pada lawatan kerja ke Sekolah Kebangsaan Nanga Entaih, Julau semalam.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Brian Fung Kok dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Nanga Entaih, Stephen Johnson.

Rolland turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu menjayakan segala program dirancang tahun ini.

Dengan peruntukan itu, Rolland berharap PIBG sekolah itu dapat terus bergerak akif menganjurkan program membawa impak positif kepada pihak sekolah, pelajar, ibu bapa dan komuniti.

“Kita berharap peruntukan itu dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan digunakan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang membawa kepada kebaikan bersama.

“Kita sentiasa memberi sokongan usaha ini dan sedia menghulurkan bantuan sewajarnya diperlukan pada masa akan datang,” jelasnya.

Rolland turut meluluskan peruntukan berjumlah RM1,000 kepada sekolah itu untuk masalah air ketika musim kemarau bagi membeli pam air elektrik.