SANTUNI PENIAGA: (Dari kiri) Low, Marcus, Ling dan Hee ketika lawatan di Pasar Ikan Miri kelmarin.

MIRI: Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling menasihati orang awam di negeri ini supaya lebih berhati-hati susulan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak beberapa hari lalu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk memperketatkan lagi SOP dalam usaha untuk me-ngurangkan penularan pandemik COVID-19 di samping menurunkan bilangan kes positif di negeri ini.

Beliau yang juga Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan pelitup muka dan pensanitasi tangan kepada para peniaga dan orang awam di sekitar Pasar Ikan Miri baharu yang mula dibuka pada 15 April lalu.

Sumbangan adalah sebagai langkah awal pencegahan penularan pandemik COVID-19 memandangkan bandar raya Miri pada ketika ini adalah masih dalam Zon Merah dan masih dalam Perintah Kawalan Pergera-kan Bersyarat (PKPB).

“Saya memilih lokasi Pasar Ikan Miri baharu untuk me-ngagihkan pelitup muka dan pensanitasi tangan sebagai langkah awal pencegahan di samping menitik berat risiko mereka untuk mendapatkan jangkitan adalah agak tinggi di tempat kunjungan orang ramai,” jelas Ling.

Sebanyak 150 keping peli-tup separuh muka, 150 botol pensanitasi tangan dan 150 peket tisu telah diagihkan kepada para peniaga dan pengunjung di sekitar Pasar Ikan Miri.

Ling sekali lagi mengingatkan penduduk untuk terus menjaga keselamatan serta kesihatan diri.

“Saya amat berharap orang ramai khususnya di kawasan Zon Merah agar sentiasa berwaspada serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” tambahnya.

Hadir sama, Ketua Pemuda DAP Sarawak Peter Hee, Pengerusi DAP Long Lama Marcus Hugo, dan Pembantu Khas Lawrence Low.