KENANGAN: Joachim (lima kiri) merakamkan gambar kenangan selepas mengadakan lawatan kerja berkenaan. Turut serta ialah Ketua Konservator Hutan Sabah Frederick Kugan (enam kanan)

PAPAR: Kerajaan Negeri terus komited membangunkan industri kayu-kayan di Sabah sama ada untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, Sabah mempunyai produk berasaskan kayu berkualiti yang mempunyai potensi besar untuk dibangunkan secara komersial supaya menyumbangkan kepada ekonomi negeri.

Katanya, untuk itu pengusaha industri kayu-kayan di Sabah sama pengusaha sektor perhutanan mahupun hiliran perlu bekerjasama bagi mengatasi isu yang berkaitan dengan industri ini.

“Saya berharap semua pengusaha sektor perhutanan (huluan) dan industri hiliran perkayuan dapat duduk semeja untuk sama sama menangani isu isu berkaitan perkayuan secara holistik agar dapat mencapai resolusi terbaik demi kepentingan jangka panjang sektor ini," katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang kayu-kayan di Kimanis, semalam. 

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, tujuan lawatan ialah bagi meninjau dan memahami masalah-masalah operasi kilang dalam sektor perkayuan secara menyeluruh.

Katanya, hasil dari lawatan itu beliau dapat melihat sendiri pelbagai produk kayu kayan termasuk kayu berkualiti tinggi yang dieksport ke luar negara seperti Jerman, Poland, Jepun, Australia, Korea, Hong Kong, Taiwan. 

Pada masa sama katanya, hasil dari lawatan itu turut mengenal pasti beberapa masalah berkaitan dengan industri kayu yang perlu diatasi segera. 

Katanya, pihak kementerian telah mengenal pasti masalah operasi yang dikemukakan oleh kilang antaranya bekalan kayu tidak mencukupi, kos bahan mentah tinggi, kos perkapalan tinggi, gangguan tenaga elektrik yang kerap, tarif elektrik tinggi dan capaian internet lambat. 

“Semua masalah ini menganggu proses kerja  dan melemahkan produktiviti kilang dan ia di pandang serius oleh pihak kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, pihak Kementerian dalam proses menyediakan pelan utama (master plan) bagi industri kayu-kayan di negeri ini.