TERIMALAH: Zainuddin (tiga kanan) menerima cek daripada Lee (tiga kiri) disaksikan yang lain.

KUCHING: Kem Matang milik Pengakap dan Pandu Puteri Sarawak memerlukan dana untuk dibaik pulih.

Kem itu yang dibina pada 1989 sudah banyak mengalami kerosakan akibat laku musnah oleh penceroboh dan prasarana asasnya turut rosak kerana terbiar sekian lama.

Bagaimanapun, dengan pengurusan baharu di Ibu Pejabat Pengakap serta pasukan ahli Majlis Pengakap Sarawak, usaha baik pulih kem tersebut telah digerakkan.

Tabung Baik Pulih Kem Matang sekarang sedang mengusahakan dana yang diperlukan untuk tujuan baik pulih supaya ia dapat digunakan oleh Pengakap dan Pandu Puteri sebagai pusat latihan.

Pengerusi Majlis Pengakap Bandaraya Kuching Lee Kong Shin baru-baru ini menyampaikan sumbangan peribadi beliau berjumlah RM2,000.

Majlis Pengakap Bandaraya Kuching dan ahli-ahli lain turut menyumbang kepada tabung itu.

Cek sumbangan diterima Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak Kapten Zainuddin Tan Sri Hamdan di Ibu Pejabat Pengakap di Jalan Batu Lintang.

Zainuddin turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli pengakap di Daerah Pengakap Bandaraya Kuching serta orang ramai yang turut membuat sumbangan.

Beliau turut mempelawa semua Majlis Pengakap Daerah untuk mengusahakan dana yang diperlukan.

Hadir sama Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak Zasran Abdullah, Setiausaha Majlis Pengakap Bandaraya Kuching Peter Chong, Bendahari Richard Teo dan Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kuching Ng Ah Luke.