RASMI: Gira (empat kiri) merasmikan bekalan elektrik Rumah Akoh sepanjang 32 pintu di Jalan Tajam, Batang Oya.

SELANGAU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin telah menerima suntikan dana berjumlah RM46.7 juta daripada Kerajaan Sarawak di bawah Projek Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata semua projek tersebut sedang dijalankan dan dijangka siap dalam pertengahan tahun ini.

“Saya mewakili penduduk DUN Tamin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dan Kerajaan Sarawak atas keprihatinan terhadap rakyat di negeri ini terutama di kawasan Tamin,” katanya.

Terdahulu, Gira mengadakan lawatan bagi memantau projek rakyat di kawasan Hulu Pakoh dan Batang Oya kelmarin.

“Di sebelah pagi, saya sempat memantau pembinaan projek bekalan elektrik luar fasa kedua kawasan Sekuau untuk tujuh rumah panjang di Pakoh dan Bunau.

“Saya diberi taklimat bahawa pemasangan sebanyak 364 tiang termasuk kabel siap sepenuhnya. Manakala, 100 tiang lagi sedang dipasang, penduduk rumah panjang akan menikmati kemudahan bekalan elektrik 24 jam pada Jun depan,” katanya.

Pada sebelah petang, Gira berkesempatan merasmikan bekalan elektrik Rumah Akoh sepanjang 32 pintu di Jalan Tajam Batang Oya.

“Sebelum ini, rumah panjang tersebut menggunakan generator sebagai sumber tenaga elektrik. Saya difahamkan oleh TR Akoh sebelum ini beliau berbelanja RM300 hingga RM400 sebulan untuk generator.

“Dengan adanya bekalan eletrik 24 jam sekarang, keluarga beliau membayar bil eletrik lebih kurang RM80 sebulan,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami, Penghulu Andrewson Ngalai serta yang lain.