AUBAMEYANG

LONDON:Kapten Arsenal Pierre-Emerick Aubameyang mendedahkan bahawa beliau telah dimasukkan ke hospital selepas menghidapi malaria ketika dalam tugas antarabangsa bersama Gabon bulan lepas.

Penyerang itu terlepas perlawanan ketika menang 3-0 dalam aksi Liga Perdana Ahad lepas ke atas Sheffield United dan juga tidak hadir untuk pasukan The Gunners dalam perlawanan kedua suku akhir Liga Europa menentang Slavia Prague pada Khamis.

Arsenal telah menyatakan Aubameyang tidak tampil atas sebab “sakit” tanpa mengulas lebih lanjut, sejurus sebelum rakan sepasukannya turun padang di ibu kota Czech, pemain kebangsaan Gabon itu memuat naik berita sakitnya di Instagram.

“Hai semua, terima kasih atas mesej dan panggilan semua,” tulisnya.

“Malangnya saya dijangkiti malaria semasa menjalani tugas antarabangsa bersama Gabon beberapa minggu lalu. Saya telah meluangkan beberapa hari di hospital dalam minggu ini tetapi saya sudah beransur sihat hari demi hari, terima kasih kepada doktor hebat yang mengesan dan merawat virus itu dengan sangat pantas.

“Saya berasa tidak sihat dalam beberapa minggu lalu tetapi akan kembali lebih kuat tidak lama lagi! Akan menonton rakan saya kini, perlawanan yang besar buat kami! Ayuh menanginya @arsenal.”

Aubameyang memulakan perlawanan pertama menentang Slavia di bangku simpanan kemudian diturunkan untuk membantu Nicolas Pepe dengan permainan tamat 1-1.

Penyerang itu, 31, menandatangani kontrak tiga tahun yang menguntungkan tahun lalu, namun telah bergelut dalam musim ini dan telah dikeluarkan dari padang bulan lepas dalam perlawanan pasukan setempat London ekoran lambat sampai.

Beliau hanya menjaringkan sembilan gol dalam 25 kemunculan Liga Perdana musim ini berbanding 22 gol musim lepas.

Belum pasti lagi berapa lama beliau akan diketepikan dari padang. — AFP