Gambar hiasan.

KUCHING: Hanya tiga senarai perkhidmatan penting dibenarkan melakukan pergerakan rentas zon dengan permit dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tiga senarai perkhidmatan penting itu adalah pengangkutan awam, pemandu yang menghantar barang makanan dan keperluan harian dan kecemasan. 

"JPBNS mendapati sebanyak 505 kes positif dan lapan kluster yang direkodkan sejak Januari 2021 sehingga kini adalah disebabkan oleh pergerakan antara zon (Import). Oleh itu, JPBNS memutuskan untuk memperketatkan pergerakkan rentas di antara zon," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Jelas Timbalan Ketua Menteri itu, berkuatkuasa mulai 19 April 2021 (Isnin), pergerakan merentas zon harus mendapatkan kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"PDRM telah diarahkan untuk hanya mengeluarkan polis permit kepada mereka yang tersenarai dalam kategori perkhidmatan penting yang dibenarkan sahaja.

"Maka, hari ini kita mengeluarkan definasi perkhidmatan penting iaitu pengangkutan awam, pemandu yang menghantar barang makanan dan keperluan harian dan kecemasan," tegasnya.

Dalam pada itu, Uggah memberitahu, JPBNS turut memutuskan hanya premis perniagaan yang menjalankan perniagaan runcit dan keperluan makanan sahaja dibenarkan beroperasi sehingga jam 12.00 malam.

Manakala, katanya, pusat hiburan yang beroperasi seperti bistro dan kafe termasuk pusat karaoke hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 10.00 malam sahaja.

Selain itu, beliau memberitahu, JPBNS akan mengadakan perbincangan bersama PDRM Isnin nanti bagi mengenal pasti kaedah berkesan untuk memperketatkan kawalan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di negeri ini.