BARANG KAWALAN : Minyak Petrol yang cuba diseludup keluar ke negara jiran berjaya dirampas.

TAWAU : Lima lelaki yang didapati melakukan aktiviti penyeludupan keluar masuk barang kawalan dan tanpa cukai berjaya diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam dua siri tangkapan di perairan Pulau Bohayan, di sini kelmarin.

Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Supt Mohd Yacob Murad berkata tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 5.45 pagi melibatkan tiga lelaki warga asing.

"Sepasukan pegawai dan anggota Kompeni A PGA yang membuat rondaan di kawasan berkenaan mengesan pergerakan sebuah bot dalam keadaan mencuriga dari arah Semporna menuju ke perairan Filipina.

"Suspek yang menyedari kehadiran pasukan keselamatan bertindak memecut laju bot yang dinaikinya, namun berjaya dipintas dan ditahan untuk disoal siasat,"katanya dalam kenyataan media, di sini semalam. 

Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga lelaki berumur lingkungan 24 hingga 39 tahun berada di dalam bot tersebut dan didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pemeriksaan lanjut, pasukan keselamatan telah menemui satu tong gas dan enam gelen berkapasiti 50 liter berisi minyak petrol bersubsidi dipercayai ingin diseludup keluar ke negara jiran.

"Kesemua minyak petrol, bot bersama enjin sangkut yang dianggarkan bernilai RM14,595 dirampas untuk tindakan selanjutnya,"katanya.

Dalam pada itu, katanya, pasukan yang sama juga berjaya menahan dua lelaki tempatan berumur 17 dan 27 tahun di perkampungan Pulau Bohayan kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, kedua-dua lelaki berkenaan melarikan diri dan meninggalkan dua bot yang terikat di tiang sebuah rumah, disyaki milik suspek sebaik melihat kehadiran pasukan keselamatan, namun berjaya diberkas.

"Hasil pemeriksaan di dalam salah sebuah bilik rumah tersebut menjumpai satu kotak besar berwarna coklat mengandungi 14 pak rokok seludup pelbagai jenama disyaki untuk dijual dalam pasaran tempatan.

"Manakala pemeriksaan ke atas dua bot milik suspek juga turut menemui 109 gelen 50 liter dan 35 gelen daripadanya berisi minyak petrol bersubsidi,"katanya.

Mohd Yacob berkata, turut dirampas sejumlah wang kertas negara jiran 136,700 peso, wang tunai RM190, dua bot laju dan tiga enjin bot dianggarkan bernilai RM232,314.50.

"Kesemua tangkapan dan barang rampasan yang nilai keseluruhannya RM246,909.50 daripada dua siri tangkapan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut.

"Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967, manakala tiga suspek warga asing itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen,"katanya.