KUCHING: Daerah Kuching merekodkan kes harian COVID-19 tertinggi di Sarawak hari ini, iaitu 370 kes dengan 313 kes dikesan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Puncak Borneo di sini. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jumlah kes harian COVID-19 yang direkodkan di Sarawak hari ini adalah 960, angka tertinggi setakat ini dan yang tertinggi di Malaysia hari ini. 

“Lain-lain kes direkodkan di Bintulu (175), Mukah (103), Sibu (100), Miri (83), Kapit (24), Belaga (20), Bukit Mabong (13), Serian (9), Selangau (7), Kanowit (6), Sebauh (5), Subis (5) dan Tatau (5). 

“Kes turut dikesan di Marudi (5), Kabong (4), Sri Aman (4), Song (3), Lubok Antu (3), Betomg (3), Samarahan (3), Matu (3), Daro (2), Bau (2) dan masing-masing satu kes di Sarikei dan Tanjung Manis menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 22,920 kes,” katanya pada sidang media hari ini. 

Uggah yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menambah, daripada 103 kes yang dilaporkan di Mukah, 99 kes adalah dari Politeknik Mukah (Kluster Jalan Bambangan, Mukah). 

“Perincian 960 kes hari ini, 452 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif, 440 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada dan 39 kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan. 

“Manakala 25 kes lagi merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan, tiga kes melibatkan individu balik dari Indonesia dan 1 kes individu balik dari negeri lain dalam negara,” katanya. 

JPBNS turut memaklumkan terdapat 381 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj iaitu meningkat kepada seramai 17,677 orang. 

Manakala jumlah kes aktif yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital adalah seramai 5,050 orang. 

Bagi kes orang disyaki (PUI) pula, sebanyak 960 PUI baru dilaporkkan dan tiada PUI yang menunggu keputusan ujian makmal.