KUCHING: Elak didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atas kehilangan MyKad menyebabkan seorang lelaki sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun.

Bagaimanapun tindakan dikesan polis menyebabkan dia kini berdepan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa (gambar) menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu suspek disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

"Suspek membuat laporan palsu mendakwa telah disamun sehingga mengakibatkan kecederaan serta kehilangan wang tunai, dan dokumen peribadi termasuk MyKad.

"Hasil siasatan polis mendapati kecederaan dialaminya adalah disebabkan (pergaduhan) perselisihan faham antara suspek dengan rakan sekerjanya semasa mabuk sehingga menyebabkan kehilangan barang peribadinya.

"Motif suspek membuat laporan palsu adalah untuk mengelak daripada didenda JPN kerana telah tiga kali kehilangan kad pengenalan (MyKad)," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek membuat laporan palsu tersebut pada Khamis (15 April) dan mendakwa dirinya disamun oleh dua lelaki bermotosikal pada 13 April sekitar jam 12.30 malam di Jalan Rock.

"Tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan berlakunya pembaziran masa dan wang kerajaan. Sepatutnya polis boleh menumpukan kepada tugas-tugas lebih penting," katanya.