Aidi menerangkan sesuatu kepada Uggah di Bilik Operasi PKPD.

KUCHING: Seramai 295 orang lagi pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching dikesan positif COVID-19, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pelatih yang dijangkiti wabak berkenaan setakat hari ini ialah 415 orang.

Justeru, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di Pulapol Kuching mulai hari ini hingga 29 April, katanya ketika kunjungan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas ke Bilik Operasi PKPD di sini.

PKPD dikuatkuasakan di Pulapol Kuching ekoran peningkatan jumlah dijangkiti dan bimbang ia akan merebak ke luar.

Aidi berkata lagi, 20 orang tenaga pengajar dan ahli keluarga mereka juga didapati positif virus tersebut.

“Saya berharap dengan penguatkuasaan PKPD ini, kita dapat mengekang penyebaran wabak tersebut dan sekaligus menurunkan angka,” ujarnya.

Pada 13 April, sekumpulan 61 orang pelatih dikesan positif COVID-19.

Kes indeks adalah seorang pelatih yang menjalani ujian calitan di Klinik Kesihatan Kota Sentosa pada 9 April dan kemudiannya didapati positif pada 12 April. 

Pelatih dari Perlis itu tiba untuk menjalani latihan pada 22 November 2020.

Sementara itu, semua pelatih yang dijangkiti, kini dirawat di pusat berkenaan.

Jabatan Kesihatan telah menubuhkan klinik kesihatan 24 jam dan Pusat Penilaian Covid (CAC) di dalam Pulapol Kuching.

Ia juga telah menjalankan operasi pengesanan kes aktif (ACD) di sana dari 12 hingga 14 April yang melibatkan 633 orang.

ACD kedua dari 17 hingga 19 April dijangka melibatkan sekitar 2,000 yang lain.