KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini memutuskan untuk tidak menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kekal dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 24 April 2021. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata JPBNS turut bersetuju lima daerah iaitu Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Meradong kekal di bawah PKPB selepas perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Pada masa yang sama katanya, JPBNS juga akan meneruskan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan yang berisiko tinggi. 

“Berdasarkan pengalaman Sarawak, pelaksanaan PKPB dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan penguatkuasaan yang ketat adalah lebih berkesan dalam mengurangkan dan menghentikan penularan pendemik ini. 

“Salah satu kebimbangan utama JPBNS dalam pelaksanaan PKP adalah kemampuan dan keberkesanan penguatkuasaan di kawasan yang lebih luas. Ini adalah berdasarkan pengalaman PKP di Sibu baru-baru ini (dari 15 Februari hingga 1 Mac 2021),” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di Sarawak.

Tambah Uggah, PKPD lebih mudah untuk diurus dan dikuatkuasakan terutama sekali di kawasan terkuruang atau tertumpu. 

Pada masa yang sama, apabila kawasan kampung dan rumah panjang terjejas, tempat-tempat ini diletakkan di bawah sekatan pergerakan dengan kadar segera. 

Ini katanya akan membantu pihak keselamatan/penguatkuasa dalam melaksanakan kawalan pergerakan dengan lebih mudah dan berkesan. 

Oleh itu, JPBNS telah mengisytiharkan dua PKPD di Flat Sibujaya dan Rumah Sentosa di Sibu dan PKPD di 152 rumah panjang dimana setakat ini, 144 PKPD telah ditamatkan dan 10 masih dalam PKPD. 

“Dengan pendekatan ini, PKPD telah berjaya menurunkan kes-kes positif dan membendung jangkitan di kawasan tersebut tanpa membebankan kegiatan ekonomi di kawasan-kawasan  lain,” katanya. 

Di Sarawak ujar Uggah, JPBNS telah melaksanakan sebanyak 487 PKPD sejak Januari 2021 dan 401 PKPD telah ditamatkan.  Seramai 77,303 orang telah disaring di kawasan PKPD dimana 4,573 telah didapati positif. 

JPBNS juga menurunkan kuasa kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Bahagian (JPBB) untuk melakukan penilaian risiko jangkitan di bahagian masing-masing dan mengesyorkan SOP yang paling sesuai untuk membendung penularan dan jangkitan di bahagian tersebut.