BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu (JPBBB) mengusulkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) agar sekolah-sekolah dalam kawasan bandar Bintulu dibenarkan untuk melaksana pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). 

Menteri Utiliti yang juga menteri bertanggungjawab terhadap JPBB Bintulu, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (gambar) berkata, keputusan ini diambil susulan peningkatan secara mendadak kes-kes positif membabit sekolah-sekolah dalam kawasan bandar Bintulu.

"Bagi sekolah-sekolah di luar bandar Bintulu pula dibolehkan untuk menjalani pembelajaran secara bersemuka memandangkan tiada kes positif COVID-19 dilaporkan dan sekolah-sekolah di luar bandar ini juga tidak mempunyai capaian internet," ujarnya dalam kenyataan media hari ini. 

Beliau berkata, berdasarkan laporan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, kes-kes positif COVID-19 telah dikesan membabitkan 17 sekolah dalam bandar Bintulu. 

“Saya ingin mengingatkan orang ramai untuk memberi kerjasama penuh dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak," katanya.

Selain itu katanya, orang ramai diingatkan untuk tidak menularkan berita yang tidak sahih (palsu) bagi mengelakkan suasana panik dan kekeliruan.