MIRI: Seorang remaja lelaki diperintahkan Mahkamah Juvana supaya dihantar ke Sekolah Henry Gurney (SHG), Kuching selama tiga tahun setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan mencuri, dan satu tuduhan gagal mematuhi perintah kuarantin.
    
Juvana terbabit, 15, dari Bandar Baru Permyjaya di sini didakwa mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati gagal mematuhi perintah sah yang dikeluarkan oleh pegawai berkuasa untuk menjalani perintah kuarantin selama 14 hari memandangkan tertuduh dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit COVID-19.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5 pagi, 20 Februari lalu di sebuah pusat kuarantin di sini.
    
Selain itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri sebuah motosikal.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah mencuri sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran QM17xxx kepunyaan Hairollnizam Hasim, 32.
    
Dia dakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 pagi, 20 Februari lalu di hadapan sebuah hotel di sini yang merupakan tempat dia menjalani perintah kuarantin.    
    
Setelah meneliti semua aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira laporan akhlak dibentangkan oleh pegawai penasihat dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke SHG Kuching selama tiga tahun bagi setiap tuduhan dihadapi.
    
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong dihadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.
    
Sementara di mahkamah berasingan, juvana terbabit turut diperintahkan supaya dihantar ke SHG selama tiga tahun setelah mengaku bersalah atas tuduhan mencuri.
    
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut fakta kes, tertuduh didapati mencuri satu unit alat gerudi simen, satu alat pengisar dan satu alat pengecas kepunyaan sebuah syarikat percetakan papan tanda iklan.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5 petang, 3 Februari lalu di premis syarikat berkenaan yang terletak di Permyjaya Technology Park, Jalan Tudan di sini.
    
Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga perintah yang dikenakan ke atas tertuduh berjalan serentak.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie.