Tertuduh diiringi pegawai SFC di mahkamah, hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu kerana menceroboh Taman Negara Dered Krian dan mengalihkan objek yang mempunyai kepentingan geologi di kawasan tersebut.

Tertuduh Lukas Baidie, 36, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca oleh jurubahasa mahkamah terhadapnya. 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh gagal menunjukkan pas kebenaran sah untuk masuk ke Taman Negara Dered Krian dan seterusnya didakwa mengikut Seksyen 26 (a) Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998.

Pertuduhan kedua pula menyaksikan tertuduh didakwa mengalihkan objek yang mempunyai kepentingan geologi tanpa kebenaran kontroler Taman Negara dan Rizab Semula Jadi.

Justeru, dia didakwa di bawah Seksyen 26 (g) Ordinan Taman Negara dan Rizab Semula Jadi 1998.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukannya pada 3 April lalu, jam lebih kurang 6 pagi.

Mengikut keterangan kes, sebuah pasukan dari SFC sedang melakukan pemeriksaan rutin di sekitar taman negara tersebut sebelum menemui tertuduh. 

Pasukan tersebut memeriksa tertuduh dan seterusnya mendapati dia memiliki tiga karung tanah. 

Hasil siasatan mendapati tanah berkenaan dialih dari Gua Tabai yang terletak dalam kawasan Taman Negara Dered Krian, di Bau tanpa kebenaran kontroler Taman Negara dan Rizab Semula Jadi.

Dalam pada itu, Hakim Marutin Pagan dalam menjatuhkan hukum menetapkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan yang dihadapinya. 

Mahkamah bagaimanapun mengarahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan dikuatkuasakan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 3 April lalu. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak, Mohamad Fuad Ahmad.