PELANCARAN HPC: Saravanan berucap pada majlis perasmian portal Pusat Penempatan HRDF (HPC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Selasa lalu.

KUALA LUMPUR: Portal Pusat Penempatan HRDF (HPC) menyasar untuk mewujudkan 50,000 penempatan pekerjaan dan peluang menjana pendapatan pada tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, HPC merupakan salah satu program Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dalam menyediakan platform yang mampu menghasilkan puluhan ribu peluang pekerjaan serta pendapatan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“HPC merupakan satu inisiatif yang melengkapi usaha kementerian untuk menangani cabaran pengangguran vang dihadapi oleh negara kesan daripada COVID-19.

“Dengan penempatan segera, rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, kemahiran dan pengalaman akan dapat memperoleh sokongan dan bimbingan yang diperlukan untuk memulakan serta membina perjalanan kerjaya mereka,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran HPC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) Selasa lalu.

Berucap lanjut, Saravanan berkata, bagi memastikan sasaran 50,000 peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan ini tercapai, HPC akan menjelajah ke seluruh pelosok negara demi mendapatkan peluang untuk menjalinkan kerjasama de-ngan pihak berkenaan.

“Sebelum HPC dilancarkan lagi, PSMB telah menjalinkan kerjasama dengan lebih 20 majikan, persatuan serta rakan strategik kerjaya dan hampir 20,000 pekerjaan boleh diakses.

“Bagaimanapun, HPC bukanlah sebuah portal mencari pekerjaan, sebaliknya menyediakan penempatan pekerjaan dengan memberikan tumpuan kepada pembentukan seseorang individu terhadap pekerjaan menerusi latihan dan kursus disediakan.

“Saya percaya lebih banyak lagi peluang pekerjaan boleh dihasilkan menerusi platform HPC yang diperkenalkan oleh HRDF ini.

“Oleh yang demikian, saya ingin menyeru agar lebih ramai rakyat Malaysia khususnya mereka yang hilang pekerjaan ataupun graduan yang masih menganggur untuk merebut peluang ini bagi mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRDF, Datuk Shahul Hameed berkata, pihaknya berbangga dapat mengumpulkan rakan strategik, majikan, penyedia latihan dan jurulatih kerjaya dalam satu platform untuk menangani kekurangan tenaga kerja pada masa kini di samping menampung keperluan pekerjaan negara untuk jangka panjang.

“Saya yakin bahawa HPC akan mencapai sasaran untuk mencipta 50,000 peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan pada tahun ini.

“Calon dapat mengakses lebih 19,000 pekerjaan di HPC. Selain itu, kami berhasrat untuk menjadikan HPC sebagai pusat bagi tenaga kerja Malaysia untuk mempertingkat kemahiran dan pengetahuan mereka.

“Pada masa sama ianya juga dapat memastikan majikan tidak hanya mencipta peluang baru, tetapi juga mendapatkan tenaga kerja terbaik yang sesuai dengan keperluan perniagaan dan industri mereka.

“Ini sekali gus menjadikan HPC sebagai sumber yang sangat baik untuk meningkatkan aspirasi pengembangan modal insan Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Sehingga ini, lebih 200 calon telah berjaya mendapatkan pekerjaan melalui HPC. Mereka yang ingin mengakses pelbagai perkhidmatan tersebut, boleh melayari hpc.hrdf.com.my.