Abang Johari pada sidang media selepas majlis pelancaran Sarawak Coastguard, hari ini. Turut kelihatan Masing (dua kiri) Asfia (dua kanan) dan Chai (kiri) serta yang lain. - Gambar ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak

KUCHING: Sarawak Coastguard (SCG) akan menjaga kawasan pesisir laut di bawah bidang kuasa negeri dan beroperasi di taman marin yang diwartakan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mempunyai kawasan taman marin yang berkeluasan lebih 1.2 juta hektar keseluruhannya yang perlu dijaga kerana mempunyai hidupan marin unik.

"Penubuhan Sarawak Coastguard ini akan menjadi pelengkap kepada agensi keselamatan lain dan kawasan operasi mereka adalah taman marin yang diwartakan di Sarawak dimana mereka akan menguatkuasakan ia di bawah ordinan semula jadi kita.

"Di Sarawak, kita bukan sahaja mempunyai pesisir pantai yang panjang tetapi mempunyai taman marin yang berkeluasan lebih 1.2 juta hektar keseluruhannya termasuk Taman Negara Luconia Shoals, yang diwartakan.

"Kita juga dimaklumkan baru-baru ini terdapat penemuan mamalia di Taman Negara Luconia Shoals dan mamalia ini harus kita jaga dan pertahankan keunikan yang terdapat di Sarawak," katanya pada sidang media selepas melancarkan SCG di Tebingan Kuching di sini, hari ini.

Menurutnya antara taman marin yang diwartakan termasuk Taman Negara Similajau, Taman Negara Tanjung Datu, Taman Negara Talang Satang, Taman Negara Marin Miri-Sibuti, Taman Negara Santubong, Tamana Negara Paya Bakau Limbang, Taman Negara Bruit dan Taman Negara Luconia Shoals.

Abang Johari berkata malahan penubuhan SCG itu juga akan mempertingkatkan lagi penguatkuasaan di perairan Sarawak terutamanya pesisir pantai dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain.

Katanya kerjasama itu juga akan memperkukuhkan lagi kawalan kemasukan pencerobohan nelayan asing ke perairan negeri ini.

Beliau memberitahu pencerobohan nelayan atau kapal asing berlaku di laut dan dikhuathiri akan memasuki kawasan pesisir Sarawak.

"Sekurang-kurangnya di pesisir laut kita ada SCG yang bekerjasama dengan penguatkuasa lain dan dimaklumkan peralatan digunakan SCG kita juga antara yang paling terbaharu di Malaysia," katanya.

Bagi memantapkan lagi SCG, beliau berkata lima buah pangkalan akan dibina iaitu di Kuching, Tanjung Manis, Bintulu, Miri dan Lawas di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Selain itu, beliau berkata untuk latihan asas ia akan diadakan di Sibu dan Miri selama seminggu sementara kursus pengendalian bot Interceptor selama seminggu dilaksanakan Pasukan Gerakan Marin.

Hadir sama pada sidang media Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UPKN) Datu Dr Chai Khin Chung.