MIRI: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana kesalahan melakukan pecah rumah dan curi pada Februari lalu.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Leona Dominic Mojiliu setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
    
Roberto Sylvester Taie, 23, dari Lawas didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 14 tahun atau penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan pecah rumah dengan memecah masuk sebuah rumah dan mencuri dua set anak panah, sebilah pisau pemotong daging, sebuah beg mengandungi pakaian, sebuah beg sandang dan sebuah beg bertulis Adidas kepunyaan Suryatini Mos.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 2 pagi, 1 Februari lalu di sebuah rumah di Lorong Desa Pujut 1L, Desa Pujut 2 Bandar Baru Permyjaya di sini.
    
Hasil siasatan yang dilakukan, tertuduh mengaku mencuri dengan tujuan mendapatkan wang dengan menjual barangan yang dicurinya.        
    
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh dia ditangkap pada 1 Februari lalu.
    
Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.