KUCHING: Sarawak merekodkan 290 kes jangkitan COVID-19 baharu hari ini dengan satu kematian dilaporkan di Bintulu. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan berkata Kuching merekodkan kes harian tertinggi iaitu 86 kes diikuti Bintulu (81), Miri (36), Sibu (22) dan Samarahan (7). 

Manakala lain-lain kes dikesan di Kapit (6), Subis (6), Julau (5), Bukit Mabong (4), Meradong (3), Marudi (3), Sarikei (2), Selangau (2), Sri Aman (2), Tebedu (2), Tanjung Manis, Tatau dan Belaga masing-masing satu. 

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 17,135 kes manakala jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 113 orang. 

“Daripada 290 kes baharu yang dilaporkan, 156 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19. 

“Manakala 104 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada, 20 kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan, 8 kes lain-lain saringan dan masing-masing satu kes melibatkan individu balik dari Papua New Guinea dan dari negeri lain di Malaysia,” katanya. 

Mengenai kes kematian ke-113 yang dilaporkan hari ini, ia melibatkan seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun yang mendapat rawatan di Hospital Bintulu. 

Kes disahkan meninggal dunia pada 29 Mac 2021 dan ujian rt-PCR yang diambil pada 30 Mac didapati positif pada 2 April 2021. 

JPBNS turut memaklumkan terdapat 226 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Miri (48), Hospital Bintulu (48), Hospital Sibu (39), PKRC Serian (32), Hospital Umum Sarawak (25), Hospital Sarikei (21), PKRC Hospital Kapit (12) dan PKRC Mukah (1).

Ini menjadikan jumlah kes yang telah pulih meningkat kepada 14,244 orang atau 83.13 peratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak. 

Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di PKRC dan wad hospital adalah seramai 2,721 orang. 

Mengenai kes orang disyaki (PUI), hari ini terdapat 290 PUI baru dilaporkan dengan satu PUI masih menunggu keputusan ujian makmal. 

Manakala seramai 276 individu di bawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk di hotel bagi menjalani kuarantin.