Chong (depan, tengah) pada sidang media PH Sarawak hari ini.

KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa mengadakan persidangan Parlimen dengan segera bagi membentangkan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan bagi tujuan memulihkan status Sarawak dan Sabah dalam Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen yang menggesa perkara itu berkata, seperti mana yang dinyatakan Perdana Menteri semasa lawatan ke Sarawak, beliau memberi jaminan akan memulihkan status 'wilayah' kepada negeri ini selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Namun kata Chong untuk berbuat demikian perlu ada pindan bagi Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan perkara itu dicapai.

“Kami PH Sarawak hari ini semasa mesyuarat menyatakan semua ahli parlimen PH Sarawak akan menyokong pindaan Perlembagaan untuk memulihkan versi asal Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu sebagai naib pengerusi DAP Nasional dan mewakili semua ahli parlimen DAP, saya memberi jaminan kepada Muhyiddin semua 42 ahli parlimen DAP menyokong agar pindaan rang undang-undang berkenaan dibentangkan di Parlimen,” katanya pada sidang media bersama ahli PH Sarawak lain di sini, hari ini.

Chong yang juga pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berkata, dengan 112 ahli parlimen sedia ada menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditambah 42 ahli parlimen DAP serta PKR, pindaan berkenaan dapat dibentangkan.

“Sekarang ia bergantung kepada kerajaan PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Adakan sidang parlimen dan bentangkan pindaan berkenaan,” katanya.

Chong berkata jangan hanya bercakap sahaja untuk meminda perlembagaan demi untuk menarik undi.