VAKSIN: Zulkipli menerima suntikan vaksin dikendalikan kakitangan KKM di Dewan Sri Kenyalang UPMKB kelmarin.

BINTULU: Petugas barisan hadapan dan masyarakat tidak perlu bimbang menerima suntikan vaksin memandangkan usaha itu memastikan diri termasuk keluarga dan orang sekeliling berada dalam keadaan sihat sekali gus memutuskan rantaian COVID-19.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata, tiada perkara merisaukan dalam pemberian suntikan vaksin kerana ia untuk memastikan diri dan keluarga dalam keadaan sihat serta selamat.

“Petugas barisan hadapan dan masyarakat tidak perlu bimbang, bagi saya suntikan hari ini (kelmarin) berjalan lancar dan tiada perkara merisaukan,” katanya ditemui pada Program Vaksinasi COVID-19 di sini kelmarin.

Beliau merupakan pegawai penguat kuasa keselamatan pertama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bintulu bersama wakil-wakil rakyat serta ketua-ketua jabatan menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.

“Bagi saya program vaksinasi ini satu usaha amat baik dan program suntikan vaksin ini berjalan lancar,” katanya.

Justeru, Zulkipli menyeru petugas barisan hadapan agar tidak risau menerima suntikan vaksin demi memastikan diri dan keluarga berada dalam keadaan sihat dan selamat.

“Saya juga amat gembira menerima suntikan vaksin ini dan ia lebih meyakinkan diri saya untuk memastikan diri sentiasa berada dalam keadaan sihat.

“Semua sedia maklum bahawa petugas barisan hadapan melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguat kuasa dan kita bersama masyarakat perlu berganding bahu memastikan COVID-19 dapat diputuskan di Bintulu ini,” katanya.