SOKONG: Lee menunjukkan tanda bagus terhadap usaha dan hasil tangkapan nelayan di Kampung Batu Satu, Kuala Baram di Miri, semalam.

MIRI:Orang ramai tidak perlu berasa ragu-ragu dengan pelaksanaan Program Vaksinasi COVID-19 negara yang bertujuan melindungi diri sendiri, anggota keluarga mereka dan masyarakat sekitar daripada wabak COVID-19.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin menyeru mereka yang belum mendaftar, agar segera mendaftar demi mendapatkan perlindungan imunisasi wabak COVID-19.

“Semasa lawatan saya ke pusat vaksinasi di Dewan Dato Permaisuri di Permyjaya hari ini (semalam), saya berkongsi pengalaman vaksinasi dengan mereka yang menunggu giliran masing-masing untuk memberi mereka dorongan dan mengucapkan selamat berjaya kepada mereka.

“Setelah mendapat suntikan vaksin dos pertama, saya berasa tidak ada sakit, juga tanpa mengalami kesan sampingan seperti demam, alergi, sakit kepala, pening dan keletihan. Tidak ada rasa sakit di lengan, saya dapat bergerak dengan bebas dan tidur nyenyak,” katanya ketika dihubungi bagi berkongsi pengalaman vaksinasi dengan mereka yang belum mendapat vaksin COVID-19 semalam.

Menteri bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri itu juga berkongsi pengalaman vaksinasi dengan orang ramai sebelum mengunjungi pusat vaksinasi.

“Saya pergi untuk memotong rambut pagi ini (semalam) dan mendapat maklum balas yang baik daripada orang ramai di premis setelah mereka mendapat maklumat langsung mengenai pengalaman vaksinasi saya.

“Mereka memberitahu saya bahawa mereka berasa lebih yakin sekarang dan mereka belum berdaftar memutuskan mendaftar dan akan pergi untuk vaksinasi setelah giliran mereka tiba.

“Mereka memberitahu bahawa mereka mendengar banyak komen negatif pada masa lalu, tetapi sekarang dengan pengalaman peribadi saya, mereka lebih yakin dan tidak dipengaruhi khabar angin lagi,” katanya.

Oleh itu, beliau menggesa orang ramai tampil dan menyokong program ini untuk kesejahteraan mereka dan penduduk setempat.

Pendaftaran program itu boleh dibuat secara digital melalui aplikasi MySejahtera atau menghantar permohonan secara manual di Pejabat Daerah, pemimpin masyarakat dibantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta mana-mana Jawatankuasa Penduduk (JP) di bawah Majlis Bandaraya Miri (MBM), Majlis Daerah Subis (MDS) atau Majlis Daerah Marudi (MDM).

Selepas mengunjungi pusat vaksinasi di sini, Lee kemudian mengunjungi gerai nelayan di Kampung Batu Satu, Kuala Baram menyaksikan kemeriahan musim bubuk.

Beliau benar-benar gembira kerana musim bubuk sekarang menjana pendapatan tambahan kepada nelayan-nelayan di sini.

“Nelayan di sini memberitahu saya mereka mulai menangkap bubuk sejak bermulanya sambutan Tahun Baharu Cina lalu.

“Mereka mendedahkan sekarang adalah waktu terbaik ketika mereka bermula dengan tangkapan lebih besar. Musim bubuk ini dijangka berakhir bulan depan,” katanya.

Pada tahun-tahun lalu, setiap tiba masa musim bubuk bukan sahaja penduduk setempat, pelawat dari Miri turut berkunjung ke sini dan sangat unik dijadikan produk pelancongan bagi bandar raya Miri pada masa akan datang.